Isteri kepada pendakwah selebriti, Da’i Syed iaitu Hana Ismail membuat keputusan besar dalam hidupnya apabila memilih untuk berehat buat tempoh yang panjang daripada dunia pengacaraan demi memberi keutamaan kepada keluarga.
Hana atau nama penuhnya, Nurulhana Ismail, 39, mengakui keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah, namun dibuat selepas mendapat nasihat suaminya agar memberi sepenuh tumpuan kepada anak-anak yang masih kecil.
Menurut Hana, penglibatannya dalam dunia pengacaraan akan dihentikan buat sementara waktu kerana mahu berada lebih dekat dengan keluarga, selain memberi perhatian kepada bayi dan perniagaan yang diusahakannya.
“Sebenarnya saya ingin maklumkan saya mungkin akan berehat lama selepas ini dan tidak lagi menerima tawaran sebagai pengacara.
“Semalam merupakan hari terakhir saya kerana mahu fokus kepada keluarga. Anak-anak saya masih kecil dan suami menasihatkan supaya saya memberi perhatian kepada bayi terlebih dahulu,” katanya.
Hana berkata demikian ketika ditemui pada majlis ilmu Cahaya Hati 2.0: Dari Luka Temui Cahaya yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Tambahnya, perancangan untuk kembali aktif dalam bidang pengacaraan hanya akan dipertimbangkan apabila anak-anaknya sudah membesar dan mampu menguruskan diri sendiri.
Namun begitu, Hana tidak menolak kemungkinan untuk kembali menerima tawaran sekiranya terdapat permintaan yang bersesuaian pada masa hadapan.
“Berat untuk saya membuat keputusan ini kerana mengacara adalah sesuatu yang sangat saya minati. Saya suka menghadiri majlis ilmu dan mengendalikan program sebegini.
“Tetapi saya percaya ganjaran yang lebih besar menanti jika saya memilih untuk memberi sepenuh perhatian kepada keluarga,” ujarnya.
Pada Oktober lalu, Hana berkongsi berita gembira apabila selamat melahirkan cahaya mata kedua.
Untuk rekod, Hana dan Da’i Syed mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2022 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Sharifah Fatma Nour Jamalullail.






