Hannah akan pastikan letak ‘orang yang betul di jawatan yang betul’

Hannah akan pastikan letak ‘orang yang betul di jawatan yang betul’


KUALA LUMPUR – Hannah Yeoh komited untuk meletakkan ‘orang yang betul di jawatan yang betul’ sebelum penggalnya sebagai Menteri Belia dan Sukan berakhir.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata, terdapat jawatan yang dipilih sendiri oleh beliau dan ada yang dilantik oleh persatuan.

“Salah satu perkara utama yang saya mahu lakukan sebelum saya menamatkan penggal saya sebagai Menteri Belia dan Sukan ialah meletakkan orang yang betul di jawatan yang betul.

“Mereka yang dipilih oleh orang lain, saya tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan.

“Itu dilakukan melalui proses demokrasi dan kita mesti menghormatinya. Saya hanya boleh mengeluarkan mereka yang saya lantik,” katanya dalam perkongsian di media sosial.

Ratu Squash Negara, Datuk Nicol David antara ‘orang yang betul dilantik ke jawatan yang betul’

Hannah berkata, Nicol melaksanakan tugasnya sebagai Timbalan Chef de Mission di Olimpik Paris 2024 dengan cemerlang.

Katanya, Nicol telah melaksanakan tugas yang diamanahkan dalam menyokong atlet negara dengan sangat menyakinkan.

“Saya berharap beliau akan terus membantu saya dalam pembinaan negara melalui pembangunan sukan.

“Saya mahu legasi saya memperkasakan bekas atlet kita untuk membantu atlet semasa dan akan datang kerana mereka tahu keperluan dan mereka faham. Perhatikan ruang ini. Lebih banyak akan datang,” kata Hannah.

Tambahnya, dalam masa singkat memikul tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan beliau telah melantik ramai bekas atlet utama untuk membantu.

Ini kerana menjadi kepercayaan yang dipegang beliau bahawa bekas atlet memahami sukan dan keperluan atlet.

Dalam jawatankuasa Road To Gold, beliau melantik tiga bekas atlet utama untuk membantu iaitu Datuk Lee Chong Wei, Nicol dan Mirnawan Nawawi.

Manakala bekas peserta olimpik Suriaghandi Suppiah dan Chong Wei dipilih membantu dalam Majlis Sukan Negara dan di Institut Sukan Negara Malaysia Datuk Marina Chin dan Nicol telah dilantik.

“Di Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) saya mempunyai Farah Ann, Jeffrey Ong dan Soo Beng Kiang untuk membantu saya.

“Dalam Jawatankuasa Sukan Selamat, saya melantik Nurul Huda untuk mempengerusikannya.

“Dan kemudian saya mempunyai Pentadbir Sukan seperti Datuk Seri Windsor John dari Konfederasi Bola Sepak Asia (Stadium Perbadanan Malaysia) dan Datuk Stuart Ramalingam (Penyelaras RTG),” kata beliau.- MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top