Hannah bimbang arahan tak benar atlet wanita dalam sukan tertentu

Hannah bimbang arahan tak benar atlet wanita dalam sukan tertentu


KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh melahirkan kebimbangan terhadap arahan kerajaan negeri tidak membenarkan atlet wanita terlibat dalam sukan tertentu.

Hannah berkata, ramai atlet dari gender tersebut mempunyai bakat dan boleh memberi sumbangan kepada negara.

“Pihak kementerian bimbang  arahan kerajaan negeri untuk tidak membenarkan penglibatan atlet wanita dalam bidang tertentu  akan merencatkan potensi ramai atlet muda yang terbukti mempunyai bakat, serta memberikan impak negatif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu menurut Hannha, dua atlet terjun wanita Terengganu yang menang pingat di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak akan meneruskan latihan harian di Sekolah Sukan Malaysia di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan.

Hannah percaya bakat Uzlifatil Jannah Ashraf dan Ilyssa Ixora Imran dapat dikembangkan bagi memasuki program di peringkat kebangsaan.

“Pengarah teknikal kebangsaan sukan terjun Bryan Nickson telah mengenalpasti penerjun ini untuk dipertimbangkan memasuki program pelapis kebangsaan tahun hadapan sekiranya terus menunjukkan peningkatan prestasi di beberapa kejohanan akan datang,” katanya.

Beliau berharap Kerajaan Negeri Terenganu tidak mendiskriminasikan pemberian insentif kemenangan kepada kedua-dua penerjun terbabit kerana mereka telah menyumbang pingat kepada kontinjen negeri itu dalam Sukma Sarawak.

Kata Hannah, setiap peserta yang mewakili negeri di Sukma perlu melalui proses pendaftaran yang dipersetujui oleh majlis sukan negeri tertentu.

Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim terkejut dan kecewa terdapat atlet wanita dari Terengganu terlibat dalam pertandingan terjun.

Katanya, penyertaan kedua-dua atlet terjun wanita Islam mewakili Terengganu pada Sukma Sarawak 2024 dibuat Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) tanpa pengetahuan dan kebenaran daripada kerajaan negeri.

Sehubungan itu beliau juga telah meminta Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menyediakan laporan lengkap dan akan memanggil pihak persatuan serta MSNT untuk memberikan penjelasan terperinci selepas selesai Sukma 2024.

Tambah beliau, penegasan awal kepada MSNT supaya tiada atlet wanita dan Muslim Terengganu menyertai acara itu kerana pakaian sukan tersebut tidak mematuhi kod etika ditetapkan sekalipun atlet berkenaan bukan berasal dari Terengganu.

Kelmarin, PRAT memohon maaf atas kesilapan menghantar penerjun wanita Muslim sehingga menimbulkan rasa tidak senang masyarakat.

Presiden Toh Chin Yaw berkata, salah faham berlaku berkaitan kod etika berpakaian yang dianggap ‘perkara biasa’ memandangkan pemakaian bagi acara terjun diseragamkan di peringkat antarabangsa dalam mana-mana kejohanan.-MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top