KEPUTUSAN sama ada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mendapat lampu hijau kerajaan untuk melanjutkan kontrak penganjuran Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia bergantung kepada data terperinci mengenai pulangan pelaburan sepanjang penganjurannya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, walaupun acara berprestij itu mendapat sambutan menggalakkan, SIC masih perlu meyakinkan kerajaan bahawa manfaat ekonomi yang diterima adalah menyeluruh.
“Semua ini memerlukan data untuk meyakinkan Kementerian Kewangan bahawa ada pulangan pelaburan. Apabila kita keluarkan dana, ia bukan hanya dari segi pelancongan, tetapi juga menyokong ekonomi serta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
“Seperti MotoGP, kira-kira 4,500 peluang pekerjaan sementara dapat dijana setiap tahun. Namun, kita mahu kemahiran turut diturunkan kepada rakyat, jadi pengumpulan data sangat penting bagi meyakinkan Kementerian Kewangan bahawa ia bukan satu pembaziran,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 di sini pada Isnin.
Hannah (tengah) bersama jurulatih dan atlet pekak pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kontinjen negara ke Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia di Wisma KBS, Putrajaya pada Isnin. – Foto: Bernama
Malaysia akan membawa kontinjen kedua terbesar selepas tuan rumah, Indonesia, merangkumi 53 atlet dan 27 pegawai untuk beraksi dalam enam acara sukan iaitu futsal, olahraga, badminton, tenpin boling, catur dan pingpong.
Semalam media melaporkan, SIC kini dalam rundingan bersama pemegang hak penganjuran MotoGP, Dorna Sports, bagi memperbaharui kontrak GP Malaysia yang akan tamat pada 2026.
Dalam perkembangan lain, Hannah menaruh harapan tinggi kepada barisan atlet badminton negara untuk menyerlah di Kejohanan Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini.
“Saya yakin pemain badminton kita boleh beraksi dengan baik terutama yang berada dalam Program Road To Gold (RTG). Tetapi saya juga berharap mereka tidak terlalu letih kerana kita tahu kalendar badminton sangat padat.
“Macam mana pun, mereka perlu terus bermain untuk mengekalkan kedudukan dalam RTG, dan saya sentiasa berdoa agar tiada sebarang kecederaan menimpa atlet kita,” katanya.
Antara pemain badminton yang berada dalam RTG ialah Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Pearly Tan-M. Thinaah, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie. – Bernama