MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap kemelut pentadbiran Olahraga Malaysia (MA) yang berbangkit ketika ini tidak akan mengganggu persiapan atlet negara menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan.
Beliau berkata, berbaki beberapa minggu sebelum ke temasya itu, pertikaian mengenai isu keabsahan pelantikan individu dalam badan induk sukan olahraga itu perlu diselesaikan dengan kadar segera.
“Jadi, seperti yang saya telah nyatakan banyak kali, pentadbiran sukan dan pentadbiran persatuan sukan itu sangat penting untuk pastikan atlet-atlet tidak terjejas dan sukan itu boleh dibangunkan tanpa kita membazirkan masa dalam isu-isu pentadbiran seperti inilah.
“Bila kita ada aduan seperti ini dan kalau ada kem-kem yang mempunyai pendapat yang berbeza, ia sedikit sebanyak menjejaskan pembangunan sukan yang diwakili oleh mereka,” katanya ketika merasmikan kompleks sukan baharu di sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, Hannah mengesahkan pihak Pesuruhjaya Sukan (PJS) sedang menjalankan siasatan awal terhadap aduan berkenaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menunggu hasil siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Olahraga cukup penting untuk Malaysia, dalam apa-apa temasya, olahraga menyumbang paling banyak pingat. Oleh sebab itu saya nak pastikan perkara ini diselesaikan dengan cepat,” katanya.
Pada Selasa, Presiden Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (FTKLAA) Datuk Seri Dr V Pulainthiran dilaporkan mendakwa terdapat pindaan perlembagaan MA sehingga membolehkan individu yang memegang tampuk kepimpinan badan induk itu kini dipilih semula sebagai Presiden MA bagi penggal 2025-2028. – Bernama
Ringkasan AI
- MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap kemelut pentadbiran Olahraga Malaysia tidak mengganggu persiapan atlet negara menjelang Sukan SEA 2025
- Pertikaian mengenai keabsahan pelantikan individu dalam badan induk olahraga perlu diselesaikan segera
- Pentadbiran sukan penting untuk memastikan atlet-atlet tidak terjejas
- Pesuruhjaya Sukan sedang menjalankan siasatan awal terhadap aduan
- Olahraga penting untuk Malaysia dalam menyumbang pingat di temasya






