Hannah mahu penganjur sukan perketat isu kesihatan, keselamatan

Hannah mahu penganjur sukan perketat isu kesihatan, keselamatan


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mahu semua penganjur kejohanan sukan supaya memandang serius aspek keselamatan dan kesihatan peserta terutama apabila melibatkan golongan veteran serta warga emas.

Menterinya, Hannah Yeoh juga menggesa penganjur memastikan setiap peserta membuat deklarasi kesihatan sebelum dibenarkan bertanding bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

“Bagi sukan yang membabitkan veteran atau warga emas, saya rasa perlu ada beberapa lagi proses keselamatan yang perlu diambil oleh pihak penganjur.

“Seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kejohanan Masters yang kita anjurkan, kita pastikan semua peserta membuat deklarasi kesihatan sebelum mereka bertanding supaya semua aspek keselamatan dan kesihatan sudah diambil kira oleh penganjur,” katanya.

Beliau ditemui media selepas Majlis Anugerah Penulis-Penulis Sukan 2024 di Petaling Jaya pada Isnin.

Hannah berkata demikian mengulas insiden bekas penjaga gol Pulau Pinang, Firos Mohammed yang dilaporkan meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ di Stadium Majlis Perbandaran Manjung baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa kepentingan penyediaan pasukan perubatan, termasuk ambulans dan doktor pakar di kawasan pertandingan bagi menghadapi sebarang kecemasan.

“Pasukan keselamatan kesihatan, ambulans dan doktor pakar perlu ada di lokasi semasa pertandingan berlangsung.

“Insurans juga penting dan ia adalah tanggungjawab penganjur, terutamanya apabila membabitkan warga emas dalam sukan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top