Hannah minta semua pihak beri ruang FAM selesai proses rayuan

Hannah minta semua pihak beri ruang FAM selesai proses rayuan


Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika ditemu bual pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kem Final Klinik STL 2025 di Stadium Raja Muda Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama

MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta semua pihak memberi ruang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyelesaikan proses rayuan berhubung hukuman dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sebelum mengambil langkah menubuhkan sebarang suruhanjaya siasatan.

Beliau berkata, penubuhan suruhanjaya khas ketika ini dianggap terlalu awal kerana kes berkenaan masih dalam proses rayuan di peringkat badan induk bola sepak dunia itu.

“Biar FAM lengkapkan dulu rayuan. Kalau rayuan pun belum selesai, kita dah mula buat siasatan atau tubuhkan suruhanjaya itu ibarat ‘bertindak sebelum masanya’.

“Saya tahu ramai mahu tindakan segera tapi kita kena ikut peringkat demi peringkat. Lengkapkan dulu rayuan, baru kita bincang langkah seterusnya termasuk siasatan atau penambahbaikan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kem final klinik Liga Sepak Takraw (STL) 2025 di Akademi Sepak Takraw Malaysia pada Rabu.

Terdahulu, FIFA mengeluarkan penghakiman penuh serta alasan di sebalik tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan selepas mengesahkan wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal dikemukakan semasa proses pendaftaran pemain terbabit.

Menerusi laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memaklumkan tindakan itu diambil susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA melibatkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.

Siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan yang dihantar oleh FAM termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain terlibat mengandungi butiran yang tidak sepadan dengan rekod asal dari negara kelahiran sebenar pemain berkenaan.

Tujuh pemain yang digantung selama 12 bulan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Mengulas mengenai kemungkinan bantuan atau sokongan KBS kepada FAM atau pemain terlibat, Hannah berkata tiada permintaan diterima setakat ini daripada badan induk bola sepak negara itu.

“Setakat ini, tiada bantuan diperlukan daripada KBS kerana FAM mempunyai peguam mereka sendiri dan lebih arif mengenai peraturan FIFA,” katanya. – Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta ruang diberi kepada FAM untuk selesaikan proses rayuan dengan FIFA sebelum wujudkan suruhanjaya siasatan
  • Penubuhan suruhanjaya khas dianggap terlalu awal kerana kes masih dalam rayuan
  • FAM disarankan melengkapkan proses rayuan terlebih dahulu sebelum langkah selanjutnya dibincangkan
  • FIFA mengeluarkan penghakiman terhadap FAM dan tujuh pemain kerana ketidakselarasan dokumen
  • Tiada bantuan diperlukan daripada KBS kepada FAM atau pemain yang terlibat setakat ini



Source link

OR

Scroll to Top