Hannah nafi tidak sensitif

Hannah nafi tidak sensitif


MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil menepis kritikan dan mempertahankan tindakannya bergambar dengan pemain perseorangan Thailand yang juga pemenang pingat perak Olimpik Paris 2024, Kunlavut Vitidsarn.

Menurutnya, tindakannya bergambar itu sebagai sebahagian semangat kesukanan untuk meraikan pemenang dan mengiktiraf mereka dengan cara terhormat.

“Semangat kesukanan adalah mengenai menerima kekalahan apabila semuanya sudah berlangsung dengan adil dan dapat mengiktiraf pesaing anda dengan cara yang terhormat.

“Saya bukan hanya sebagai Menteri Sukan. Saya juga Menteri Belia. Bukan semuanya berkisar mengenai kemenangan sahaja.

“Kita bukan kalah. Tidak ada yang tidak sensitif untuk mengakui kekuatan pihak lawan selepas pertandingan.

“Sukan mengajar kita pengajaran yang tidak ternilai mengenai kehidupan dan inilah sebabnya ibu bapa mesti menggalakkan anak bersukan.

“Mereka menjadi lebih kuat apabila mereka mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi,” tulisnya di Story Instagram miliknya.

Sebelum ini, Hannah dikritik sebagai tidak sensitif selepas bergambar dengan Kunlavut yang menewaskan pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia di separuh akhir temasya sukan terbesar dunia itu.

Beliau juga memberi contoh pernah memuat naik gambar bersama jurulatih Jepun, Tan Kim Her yang merupakan rakyat Malaysia selepas dia membantu Nami Matsuyama-Chiharu Shida menewaskan gandingan Pearly Tan-M Thinaah pada aksi separuh akhir beregu wanita.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top