Hannah sedih, marah keputusan FIFA

Hannah sedih, marah keputusan FIFA


Hannah Yeoh. Foto Bernama

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meluahkan rasa sedih dan marah terhadap keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan denda kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta menggantung tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Menurut Hannah, keputusan itu memberi kesan yang besar bukan sahaja kepada pemain terbabit, malah turut menjejaskan keseluruhan skuad kebangsaan.

“Seperti ribuan peminat Harimau Malaya di luar sana, saya juga berasa sedih dan marah membaca keputusan FIFA ini. Namun, kita tidak boleh terburu-buru. Biarlah proses rayuan diselesaikan sepenuhnya dahulu sebelum kita mengambil langkah seterusnya.

“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya tetap komited untuk menjaga hak dan kebajikan setiap atlet Malaysia, tidak kira nama anda Azizul, Pearly, Thinaah, Pandelela, Gabriel atau Rodrigo,” katanya dalam hantaran di Insta Story.

Beliau menegaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius keputusan FIFA dan pada masa sama menghormati hak FAM untuk mengemukakan rayuan.

“Keutamaan sekarang adalah untuk FAM melengkapkan proses rayuan di peringkat perundangan FIFA dan antarabangsa sehingga selesai. Kesan daripada isu ini bukan sekadar melibatkan tujuh pemain tetapi seluruh pasukan kebangsaan.

“Oleh itu, semua pihak perlu memastikan proses ini dijalankan dengan penuh integriti dan ketelusan demi nama baik Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain tersebut selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan isu pemalsuan dokumen.

Dalam kenyataan rasmi, FIFA menjelaskan FAM mengemukakan dokumen tidak sah bagi membuktikan kelayakan pemain terbabit untuk beraksi pada perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (anggaran RM1.8 juta) manakala setiap pemain terbabit turut didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) selain digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak, berkuat kuasa serta-merta selepas keputusan diumumkan.

Ringkasan AI

  • MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, meluas rasa sedih dan marah atas keputusan FIFA yang mengenakan denda kepada FAM dan menggantung tujuh pemain Harimau Malaya
  • Keputusan itu memberi kesan besar kepada pemain terbabit dan keseluruhan skuad kebangsaan
  • Hannah menyatakan komitmennya untuk menjaga hak dan kebajikan setiap atlet Malaysia
  • Menekankan pentingnya FAM melengkapkan proses rayuan di peringkat perundangan FIFA dan antarabangsa
  • FIFA mendenda FAM CHF350,000 dan setiap pemain CHF2,000; pemain juga digantung 12 bulan daripada aktiviti bola sepak



Source link

OR

Scroll to Top