Hannah yakin sentuhan Dr Ramlan, Mae Chen perkasa RTG

Hannah yakin sentuhan Dr Ramlan, Mae Chen perkasa RTG


Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yakin pelantikan dua tokoh sukan negara, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz dan Mae Chen akan memperkukuhkan lagi Program Road to Gold (RTG) dalam usaha memburu pingat emas di pentas Olimpik.

“Pelantikan Dr Ramlan dan Mae Chen akan membawa nafas baharu kepada kepimpinan RTG, khususnya dalam bidang sains sukan dan pentadbiran.

“Kedua-dua tokoh ini sangat dihormati dalam bidang masing-masing dan kami amat menantikan kerjasama mereka untuk merancang hala tuju program ini,” kata Hannah pada Isnin.

Program RTG sebelum itu menerima suntikan tenaga baharu apabila Dr Ramlan dan Mae Chen dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagi penggal 2025-2026.

Sebagai rekod, Dr Ramlan, dengan pengalaman lebih 35 tahun dalam sains dan perubatan sukan, serta Mae Chen, pentadbir sukan berpengalaman luas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dijangka membawa kepakaran dan perspektif baharu kepada RTG.

Sementara itu, Hannah turut mengumumkan barisan kepimpinan RTG yang lain termasuk Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebagai Timbalan Pengerusi, serta Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David dan Datuk Mirnawan Nawawi sebagai mentor.

Datuk Stuart Ramalingam dan Halif Asro Ramzi Sulaiman pula akan terus memainkan peranan penting dalam penyelarasan projek RTG.

Mesyuarat jawatankuasa RTG seterusnya akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri dan senarai atlet untuk kitaran RTG 2025 akan diumumkan selepas itu.



Source link

OR