Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memuji kecekapan dan keprihatinan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berjaya menyelesaikan 49,000 permohonan kewarganegaraan serta kes tiada kerakyatan tertunggak, sekali gus memperkukuh komitmen Kerajaan MADANI dalam melindungi kebajikan kanak-kanak.
Hannah berkata, pencapaian itu mencerminkan pendekatan berjiwa rakyat yang ditonjolkan Saifuddin dalam memastikan hak setiap kanak-kanak dilindungi tanpa mengira latar belakang.
“Berdasarkan pengetahuan saya, belum ada Menteri Dalam Negeri yang menunjukkan sifat belas ihsan dan kecekapan seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution.
“Di bawah kepimpinannya juga, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda untuk membolehkan ibu warganegara Malaysia menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anak yang lahir di luar negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menjawab dakwaan segelintir pihak yang memetik hantaran lama beliau pada 2022, kononnya bagi menunjukkan pendiriannya tidak konsisten, Hannah menjelaskan bahawa situasi ketika ini jauh berbeza di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Beliau berkata, kritikan itu dibuat sebelum pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu, termasuk penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak pada 2023 di bawah pimpinan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
“Membezakan fakta adalah satu latihan penting dalam dunia digital hari ini. ‘Cybertrooper’ dan segelintir ahli politik gemar memilih hantaran secara rawak tanpa menggunakan daya fikir yang kritis,” katanya. – Bernama
Ringkasan AI
- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memuji kecekapan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang berjaya menyelesaikan 49,000 permohonan kewarganegaraan
- Pencapaian ini menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI dalam melindungi hak kanak-kanak tanpa mengira latar belakang
- Saifuddin dipuji kerana pendekatannya yang berbelas ihsan dan memastikan hak setiap kanak-kanak dilindungi
- Di bawah kepimpinan Saifuddin, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda untuk membolehkan ibu warganegara Malaysia menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anak yang lahir di luar negara
- Hannah Yeoh menjawab dakwaan tidak konsisten dengan menekankan bahawa situasi telah berbeza di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI