Hanya 14,000 babi dijangkiti ASF dilupuskan di Selangor

Hanya 14,000 babi dijangkiti ASF dilupuskan di Selangor



am@hmetro.com.my

Shah Alam: Hanya 14,000 babi pelbagai kategori yang dipercayai dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF) dilupuskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor secara eutanasia (hapus belas).

Pengarah DVS Selangor, Dr Hassuzana Khalil, berkata pelupusan binatang berkenaan menggunakan gas karbon dioksida dan ditanam di kawasan ladang babi mengikut kaedah yang ditetapkan.

“Sehingga kini, sebanyak 58 ladang meliputi daerah Sepang dan Kuala Langat dijangkiti ASF dan diberikan perintah di bawah Seksyen 19 Akta Binatang 1953 (Akta 647) untuk pelupusan sebagai langkah kawalan perebakan penyakit.

“Prosedur pelupusan babi di ladang positif membabitkan kos yang tinggi dan anggota petugas yang ramai, membabitkan kerjasama dari DVS negeri lain dan Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar, Putrajaya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, bagi 52 ladang babi yang masih berstatus negatif, binatang di premis itu dibenarkan disembelih di rumah sembelih (RS) yang dilesenkan melalui permit pemindahan dan perlu mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh DVS Selangor.

Katanya, antaranya adalah pematuhan kepada penetapan laluan pergerakan kenderaan pengangkut babi yang hanya digunakan ke rumah penyembelihan yang dilesenkan sahaja.

Dalam pada itu, Dr Hassuzana berkata, DVS Selangor sudah membuka tujuh kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 34 dan 36 Akta Binatang 1953 susulan Op ASF yang dijalankan di sekitar kawasan wabak.

“Ladang babi di Selangor berada pada risiko kategori tahap tiga kerana tidak mempunyai tahap biosekuriti yang baik dan kedudukan jarak antara ladang terlalu dekat, iaitu 0.5 hingga satu kilometer radius sahaja.

“Dijangkakan jangkitan ASF akan terus berlaku kerana sehingga kini masih belum ada lagi vaksin untuk penyakit itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, DVS Selangor sedang mengeluarkan perintah di bawah Seksyen 23 Akta Binatang 1953 kepada semua ladang positif yang berkenaan bagi menjalankan prosedur nyahjangkitan di ladang babi masing-masing.

Jelasnya, penternak juga tidak dibenarkan memasukkan babi baharu ke dalam ladang sehingga keadaan jangkitan betul-betul pulih dan Selangor diisytiharkan bebas daripada wabak ASF.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top