nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) yang ditawarkan sejak Januari lalu sehingga semalam merekodkan jumlah kutipan sebanyak RM56 juta, atau 374,024 saman yang dibayar.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kutipan itu disifatkan masih rendah iaitu 20 peratus sahaja saman yang dibayar berbanding jumlah saman keseluruhan.
Katanya, tawaran Flat Rate ini bermula Januri sehingga 30 Jun ini.
“Flat Rate RM150 ini kita tawarkan kepada tiga notis saman iaitu saman awas, notis 114 (notis panggilan temu siasat) dan notis 115 (permintaan butir-butir pemandu).
“Sehingga kini, nilai kutipan yang direkodkan adalah RM56 juta membabitkan 374,024 saman dan jumlah itu masih rendah iaitu sekitar 20 peratus sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Operasi Khas Motosikal sempena Ops Khas Aidiladha (HRAA) di Jalan Kuala Krai, di sini, lewat malam tadi.
Mengulas lanjut katanya, orang ramai disaran untuk tidak melepaskan peluang yang ditawarkan dengan menyelesaikan saman mereka sebelum tempoh tawaran berakhir.
“Tawaran ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk menyelesaikan saman tertunggak dengan kadar yang lebih rendah.
“Selepas tempoh tawaran ini tamat, kadar saman akan kembali kepada asal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd