Hanya berlatih dua hari mampu tumbangkan United

Hanya berlatih dua hari mampu tumbangkan United


Pasukan ASEAN All-Stars berjaya menumbangkan United.

PENGENDALI ASEAN All-Stars, Kim Sang-Sik mendedahkan pasukannya hanya berlatih dua hari sebelum perlawanan bertemu dengan Manchester United dalam aksi Piala Cabaran Maybank di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Menurut Sang-sik, beliau menghargai persembahan dipamerkan para pemainnya walaupun berdepan persiapan singkat.

“Beraksi menentang salah satu kelab terbaik dunia, ia merupakan satu perlawanan yang hebat serta persembahan yang cukup menakjubkan oleh pasukan kami. Pada akhirnya, kami berjaya meraih kemenangan 1-0, jadi kami sangat gembira.

“Kami hanya sempat menjalani latihan selama dua hari, namun mereka bermain seolah-olah telah bersama lama.

“Pasukan bermain dengan sangat tersusun dan kami amat berpuas hati dengan pencapaian itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam perlawanan tersebut, jaringan tunggal daripada Mg Mg Lwin pada minit ke-71 sudah cukup untuk menewaskan pasukan Liga Perdana Inggeris itu.

Pasukan ASEAN All-Stars merupakan gabungan pemain ASEAN yang dipilih untuk mewakili pasukan tersebut.

Dalam pada itu, Sang-Sik berterima kasih kepada semua penyokong yang hadir dalam perlawanan itu.

“Kami amat menghargai peluang ini dan berterima kasih atas perlawanan ini,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top