MFL melakukan penstrukturan semula peraturan pemain import bagi musim 2025/26 apabila memutuskan untuk mengurangkan kuota pemain asing di atas padang kepada enam pemain.
LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) melakukan penstrukturan semula peraturan pemain import bagi musim 2025/26 apabila memutuskan untuk mengurangkan kuota pemain asing di atas padang kepada enam pemain, berbanding tujuh sebelum ini, langkah strategik bagi mengimbangi penglibatan pemain tempatan dan asing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Menurut pentadbir liga negara itu, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL ke-14 bagi Penggal 2021–2025 selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk impak terhadap pembangunan Liga-M dan kemajuan pemain tempatan.
“Berdasarkan pindaan terbaharu, kuota pemain asing yang dibenarkan berada di atas padang ialah 6+3 (simpanan) dengan komposisi 4 pemain Terbuka + 1 pemain Asia + 1 pemain ASEAN.
“Sebelum ini, format yang digunakan adalah 7+2 (simpanan) merangkumi 4 pemain Terbuka + 1 pemain Asia + 2 pemain ASEAN,” kata pengelola liga tersebut pada Rabu.
Jelas MFL, keputusan mengehadkan jumlah pemain import di atas padang itu bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan dalam kesebelasan utama, sekali gus memberi lebih banyak ruang kepada pemain tempatan tampil menyerlah dalam saingan kompetitif.
“MFL percaya kehadiran pemain asing sememangnya dapat meningkatkan kualiti serta tarikan Liga-M, namun dalam masa sama pembangunan pemain tempatan kekal sebagai fokus utama kami bagi menyokong usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkukuh skuad kebangsaan, Harimau Malaya,” kata MFL.
Jelas badan pengendali liga itu lagi, pandangan dan maklum balas kelab-kelab turut diambil kira sebelum pindaan tersebut dilaksanakan.
“Sebahagian besar kelab berpendapat kehadiran pemain ASEAN tidak memberikan impak besar terhadap prestasi pasukan, justeru rasional untuk mengurangkan satu kuota ASEAN,” katanya.
Bagaimanapun jelas MFL, jumlah pemain import yang boleh didaftarkan dalam satu pasukan masih kekal sebanyak 15 orang.
MFL turut menegaskan bahawa setiap kelab tidak diwajibkan memenuhi keseluruhan kuota tersebut, sebaliknya bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan masing-masing.
Langkah itu sejajar dengan pelaksanaan dasar Peraturan Kewangan Adil (FFP) yang akan menyaksikan pemantauan perbelanjaan kelab melalui pelaksanaan mekanisme gaji siling sebanyak 80 peratus daripada jumlah bajet tahunan kelab bermula musim ini.