Riyadh: Bekas Menteri Sukan Arab Saudi, Putera Abdullah bin Mosaad berkata Cristiano Ronaldo yang menyertai Al Nassr pada Disember 2022, satu-satunya pemain import dalam Liga Pro Saudi yang benar-benar layak menerima gaji jutaan dolar.
Putera Abdullah, yang memegang jawatan itu dari 2014 hingga 2017 sebelum kemasukan besar-besaran pemain asing mengubah landskap liga, turut memberi amaran bahawa situasi itu semakin menenggelamkan bakat tempatan dan mengancam masa depan skuad kebangsaan.
Dalam temu bual bersama program Fi Al Marama di saluran Al Arabiya, beliau menyeru pembaharuan segera bagi melindungi pemain tempatan dan memastikan daya saing menjelang Piala Dunia 2034 yang bakal dianjurkan kerajaan itu.
“Ronaldo satu-satunya pemain asing yang berbaloi dengan apa yang dia terima kerana pendedahan global yang dia bawa kepada liga dan negara,” katanya mengenai bintang Portugal itu, yang dianggarkan meraih gaji tahunan mencecah AS$211 juta (RM871 juta) kira-kira AS$4 juta (RM16.53 juta) seminggu.
“Ramai pemain lain dibayar lebih daripada apa yang mereka layak.”
Putera Abdullah berkata, pemain tempatan kini menjadi ‘pelakon tambahan’ sejak jumlah pemain import pada hari perlawanan ditingkatkan kepada lapan, sambil menggesa ia dikurangkan kepada tujuh dan lebih banyak pelaburan diberikan kepada pembangunan akar umbi.
“Buat masa ini, usaha membina liga yang kuat datang dengan mengorbankan skuad kebangsaan,” katanya.
“Kita perlukan pelan jelas bagi persiapan menuju 2034.”
Beliau turut menggesa pengambilan jurulatih elit untuk kategori belia dan memberi amaran bahawa tanpa perubahan struktur, pemain tempatan akan terus tercicir.
Putera Abdullah yang sebelum ini melantik bekas pengadil England, Howard Webb, sebagai pengarah pengadil FA Saudi susulan kebimbangannya terhadap standard pengadilan, turut mencadangkan perlawanan besar dijadualkan pada hari Khamis bagi membolehkan pengadil Eropah terbaik ditugaskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd





