Harap 2025 bawa sinar

Harap 2025 bawa sinar



mohamadridzuan@hmetro.com.my

MENYAKSIKAN anaknya, Ryan Ezra membesar di depan mata adalah satu detik terindah buat personaliti media sosial terkenal, Ryan Bakery.

Ryan atau Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, baru-baru ini mengadakan majlis sambutan istimewa sempena setahun usia Ryan Ezra yang dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan dan kenalan.

“Diam-diam Ryan Ezra dah pun berusia setahun pada tarikh 30 Disember. Sepatutnya dia dijangka lahir 14 Januari ikut bulan ulang tahun kelahiran emaknya yang lahir pada 11 Januari.

“Tapi disebabkan berdepan kes kecemasan, Ryan Ezra lahir awal. Apapun saya seronok tengok anak membesar. Banyak benda baru kita boleh tengok. Bila tengok dia bangun sendiri dah rasa teruja.

“Mulanya dia hanya merangkak. Dah seronok tengok dia merangkak, tiba-tiba boleh bangun sendiri selangkah, dua langkah. Momen yang seronok saya lalui. Sekarang dia melekat dengan saya dan kadang susah juga nak bekerja,” katanya.

Menurutnya, majlis istimewa ini turut dirakam agar Ryan Ezra dapat melihatnya semula apabila dewasa nanti.

“Ia momen yang sangat berharga. Itu yang saya wujudkan Instagram untuk simpan gambar di situ. Nanti dia besar boleh tengok semuanya memori indah ini.

“Saya juga dah merancang dan menyimpan wang dari awal untuk kegunaan Ryan Ezra semasa dia membesar. Ia untuk dia sambung belajar dan sebagainya.

“Saya dah tetapkan kerana tak tahu masa hadapan saya nanti ada wang atau tidak. Rezeki anak saya kerana saya dapat jadi duta produk jenama terkenal untuk 2025,” katanya.

Ryan yang mendirikan rumah tangga dengan Elyia Ibrahim pada 1 Oktober 2022 juga merancang untuk memiliki rumah sendiri kerana sekarang tinggal menyewa.

“Saya memang berjimat cermat simpan duit. Saya tengah fikir nak beli rumah di kampung atau di Kuala Lumpur, tapi kerja banyak di Kuala Lumpur.

“Apa yang saya lakukan adalah untuk keluarga. Saya nak mereka gembira dengan apa yang ada sekarang,” katanya.

Kedatangan 2025 juga membawa sinar ceria buat Ryan kerana filem pertamanya The Paradoks akan ditayangkan di pawagam.

“Kalau nak diikutkan saya dah banyak berlakon telefilem. Sebelum ini saya pernah muncul dalam cerita Zim Zim Ala Kazim tapi hanya sebagai cameo beberapa babak.

Mulanya filem itu dibuat untuk Astro First tiba-tiba disiarkan di pawagam. Jadi The Paradoks boleh dikatakan kemunculan pertama saya di layar perak.

“Genre filem ini psiko thriller arahan Pierre Andre dan kami bergandingan dalam filem ini. Kiranya saya watak kedua dalam filem ini. Sebenarnya lama saya tunggu filem ini kerana shooting pada 2022,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top