Harap ada pasukan mampu calar ego JDT

Harap ada pasukan mampu calar ego JDT


JDT menjadi pilihan pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Selangor FC pada Jumaat ini. Foto Johor Southern Tigers

SAINGAN Liga Super 2025-2026 yang bakal membuka tirai pada Jumaat ini diharapkan tampil lebih kompetitif dengan ada pasukan berjaya mencabar dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, meskipun JDT dilihat masih berada pada landasan tepat untuk meneruskan penguasaan, beliau mahu melihat cabaran lebih sengit diberikan oleh pasukan-pasukan lain musim ini.

“Memang semua pihak berharap saingan liga kali ini berbeza berbanding musim-musim sebelumnya, termasuk dari segi tentangan lebih baik daripada pasukan lain terhadap JDT.

“Kita semua tahu bagaimana persiapan dan falsafah bola sepak JDT. Mereka turun dalam setiap perlawanan, kalau seri pun mereka takkan berpuas hati dan kalau menang nak menang dengan jaringan besar.

“Lawan pasukan bawahan pun, mereka tetap turunkan barisan terbaik dan ini pasukan lain perlu hadapi dan bersedia secukupnya sekiranya mahu menandingi JDT,” katanya kepada Sukan Sinar.

Musim lalu, JDT menamatkan kempen Liga Super tanpa kekalahan, dengan hanya sekali seri dalam 24 perlawanan, iaitu ketika menentang PDRM FC. Selebihnya, mereka mencatat kemenangan.

Ia secara tidak langsung menunjukkan masih ada ruang untuk pasukan lain mencipta kejutan biarpun hanya mencatatkan keputusan seri sekiranya turun dengan persiapan rapi dan mentaliti yang betul.

Bagaimanapun, beliau berpandangan masih belum ada pasukan yang benar-benar menunjukkan komitmen tinggi untuk merampas takhta kejuaraan daripada JDT.

“Saya tak nampak ada pasukan yang betul-betul bersungguh nak rampas piala daripada JDT. Mungkin kenyataan ini agak negatif, tetapi itulah hakikatnya.

“Selain faktor kemampuan taktikal, pasukan lain juga sukar menyaingi JDT dari aspek kelebihan pemain mereka ada barisan pemain warisan, pemain tempatan bertaraf A, import berkualiti, dan organisasi kelab yang sangat teratur.

“Semua ini menjadikan saingan agak tidak seimbang, dan pada masa sama turut mendedahkan kegagalan pasukan lain yang mungkin belum cukup serius dalam usaha membina pasukan yang benar-benar kompetitif,” ujarnya.

Saingan Liga Super bermula 8 Ogos ini dengan perlawanan Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara JDT dan Selangor FC.



Source link

OR

Scroll to Top