mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kami harap kerajaan akan mempercepatkan proses untuk kembalikan isteri dan adik ipar saya serta aktivis kemanusiaan lain.
“Sebab menteri Israel dah buat ‘lawak’ dah pun kata mereka ini pengganas, ” kata Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, suami kepada penyanyi, Nur Heliza Helmi yang ditahan oleh tentera Israel.
Menurutnya, kenyataan terbabit bermakna Israel tidak membenarkan peguam mewakili semua tahanan itu.
“Kita dengar kan, dekat Amman, Jordan dan lain-lain ada peguam Malaysia. Jadi bila dia jatuh kategori pengganas, peguam tak boleh ‘support’ .
“Itu yang risau. Jadi kalau dari saluran diplomatik kerajaan boleh buat sesuatu dengan segera, yang itu yang terbaiklah insya Allah,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya berkenaan perkembangan isterinya dan tahanan lain yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Mahadi berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat info-info yang sahih, namun menerima mesej dari pelbagai individu berkaitan hantaran Celebrity For Palestin.
“Ada mereka tahan semua sukarelawan dekat port (pelabuhan). Tak tahu port mana. Kiri itu nampaklah ada kontena-kontena macam dekat pelabuhan lah.
“Tapi tak tahu pelabuhan mana. Jadi nampaklah Heliza dengan adik dia dekat satu ‘corner’ bucu itu. Yang itu info terkini dengan Menteri Israel kata mereka ini pengganas.
“Akhirnya saya post dekat Instagram story. Jadi itu info yang terkini lah. Info daripada mereka memang tak ada apa-apa. Mesej masih single tick.
“Info daripada Sumud Nusantara Command Center pun tak ada apa-apa setakat ini. Itulah…macam menanti juga ini,” katanya.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana kelibat isterinya kelihatan di video sekali gus menyaksikan isterinya selamat.
“Alhamdulillah… itu yang diharapkan, sebab sebelum dia sampai pun, yang itu kerisauan dia. Dia kata macam mana nak pergi tandas nanti?, macam mana nak solat nanti? kalau kena tahan kan.
“Nauzubillah… macam mana solat? Macam mana nak itu ini? dan kemudian takut tersentuh aurat mereka berdua.
“Dia sangat menjaga aurat, sangat. Jadi pentingnya sebab mereka berdua perempuan dan berada di bucu hujung. Bila nampak benda itu macam syukur jugalah,” katanya.
Pada masa sama, Mahadi meminta semua rakyat Malaysia teruskan berdoa kerana doa adalah senjata paling dahsyat yang manusia tidak nampak.
© New Straits Times Press (M) Bhd