Harap selesai dengan baik dan menjadi contoh

Harap selesai dengan baik dan menjadi contoh



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berharap isu membabitkan pelakon dan pengarah terkenal, Ellie Suriaty, 54, dan pempengaruh, Imran Bard, 24, dapat diselesaikan dengan baik serta menjadi contoh kepada semua.

Azmir berkata, pihak Ellie ada menghubunginya dan turut meluahkan perasaan sedih dan terkilan mengenai isu pertikaiannya dengan pempengaruh berkenaan.

“Saya berharap kedua pihak dapat berjumpa dan bersemuka untuk selesaikan isu ini dengan baik.

“Saya pasti, bila ia dapat diselesaikan dengan baik, ini akan menjadi satu contoh yang baik kepada semua,” katanya.

Azmir berkata, isu itu tiada kaitan dengan perundangan Finas tetapi membabitkan seorang penggiat artis yang dikenali ramai dan banyak pengiktirafan serta jasanya kepada industri seperti menjadi tenaga pengajar dan mentor.

“Sebagai contoh, semasa pengambaran filem Memoir Seorang Guru tahun lalu, Ellie bukan saja berlakon dalam filem itu, tetapi pada masa sama, dia juga banyak membimbing pelakon kanak-kanak dalam filem itu untuk memberikan lakonan yang terbaik,” katanya.

Mengulas isu buli siber, Azmir berkata, sebagai pembuat dasar industri, isu sebegini adalah satu contoh buli siber di mana Kementerian Komunikasi sedang giat membuat kempen mengenai bahaya dan keburukannya kepada masyarakat.

“Tanpa disedari, kita boleh menjadi penyumbang kepada buli siber jika kita tidak berhati-hati membuat sesuatu komen atau reaksi dalam media sosial.

“Pengguna media sosial perlu peka dan tahu had sebelum membuat sesuatu perkara. Janganlah sehingga perkara buruk berlaku baru kita ambil tindakan.

“Kita jangan lupa agama dan budaya kita menekankan pentingnya adab dan kesusilaan berkomunikasi termasuk menyediakan atau menghasilkan konten di alam maya dan di platform media sosial. Jadikan isu ini sebagai pengajaran buat semua,” katanya.

Terdahulu, Ellie Suriaty menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa pempengaruh Imran Bard yang mencalar namanya menerusi dua hantaran di TikTok dengan kandungan berunsur fitnah.

Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar amat kecewa apabila tindakan Imran itu memperlekeh reputasi yang dibina lebih tiga dekad sebagai anak seni dan dimusnahkan begitu saja dengan kandungan dibuat Imran.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top