KUALA LUMPUR – Rakyat resah dengan kenaikan harga barang tanpa pemantauan terutama ketika menjelang sambutan Deepavali ini.
Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran kecewa kerana pada masa sama, kerajaan seolah-olah tidak prihatin dengan isu yang sedang membebani rakyat pada masa ini.
Menurutnya, isu kenaikan harga barangan bukan sesuatu yang baru namun perkara itu tidak nampaknya tiada jalan penyelesaian.
“Deepavali dalam dua hari sahaja lagi tapi jika anda pergi ke mana-mana semua harga sudah naik melambung lebih 30 peratus, tidak kira apa jua barangan makanan asas atau yang lain-lain. Bayangkan jika pembeli ini adalah golongan B40 dan berkeluarga ramai?
“Tapi kerajaan seperti tidak nampak apakah jalan penyelesaian, pemantauan dan penguatkuasaan juga kurang. Belanjawan baru-baru ini juga tidak beri apa-apa jalan untuk selesaikan isu ini sebaliknya lebih banyak cukai serta subsidi dipotong selepas ini.
“Persoalannya jika kenaikan berterusan berlaku dan kenaikan cukai serta subsidi di potong sana sini, apa rakyat biasa akan buat?
“Deepavali hanya contoh kerana kami di Makkal Sakti sedang edarkan pelbagai barangan keperluan untuk golongan tidak berkemampuan seluruh negara pada masa ini. Kasihan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Justeru Thanenthiran memohon supaya kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim prihatin dan mengambil maklum senario yang berlaku.
“Asyik sebut golongan ‘Mahakaya’ malah rakyat diletakkan di tangga-tangga tertentu. Hakikatnya semua orang sedang susah. Masa Deepavali ini, begitu banyak panggilan kepada kami mohon bakul makanan serta kewangan dan sebagainya.
“Masing-masing berebut untuk dapatkan bakul makanan tapi kami tidak mampu untuk sumbang untuk semua. Setakat ini, kita ada bantu sekitar Selangor tanpa sedikit pun sumbangan kerajaan.
“Saya sendiri terkejut dan takut melihat situasi ini. Adakah perkara ini hanya akan jadi perbualan selain kenyataan sahaja?
“Penyelesaiannya tidak ada? Bagaimanakah isu masyarakat dalam kalangan miskin tegar ini sudah selesai? B40 atau M40 semuanya sedang susah,” tegasnya. – MalaysiaGazette