Harga barangan dapur AS bakal naik akibat krisis baja, El Nino

Harga barangan dapur AS bakal naik akibat krisis baja, El Nino


NEW YORK: Pengguna di Amerika Syarikat (AS) berdepan risiko kenaikan harga barangan runcit dan makanan tidak lama lagi susulan pertembungan dua ancaman global yang dijangka mengganggu bekalan makanan dunia.

Analisis terbaharu daripada gergasi perbankan JPMorgan memberi amaran bahawa kos makanan global boleh melonjak sehingga lima peratus pada separuh pertama tahun 2027 apabila krisis kekurangan baja bertembung dengan fenomena cuaca ekstrem El Nino.

Ancaman pertama berpunca dari Teluk Parsi, kawasan yang membekalkan lebih 36 peratus eksport urea iaitu sejenis baja pertanian bernitrogen tinggi di peringkat global.

Ketua Penasihat Iklim Global JPMorgan, Dr. Sarah Kapnick menjelaskan bahawa konflik yang melibatkan Iran telah menjejaskan pengeluaran baja.

Katanya, gangguan laluan kapal di Selat Hormuz akibat perang Iran yang belum berakhir menyekat eksport seterusnya dan melonjakkan harga pasaran.

Beliau memberi amaran bahawa krisis kekurangan baja ini dijangka menjejaskan hasil tuaian dalam tempoh beberapa bulan sahaja, bermula dengan tanaman jagung di Amerika Selatan sebelum merebak ke sektor gandum di AS serta tanaman padi di seluruh Asia.

Pada masa yang sama, feno­mena El Nino berisiko mengganggu corak hujan dan suhu global, sekali gus mendedahkan kawasan pertanian utama kepada ancaman kemarau, banjir serta gelombang haba.

Pengeluar di kawasan tropika seperti Brazil dan India berada dalam kedudukan paling berisiko tinggi memandangkan kebergantungan besar terhadap baja dari Teluk Parsi bertembung dengan kawasan yang sememangnya sensitif kepada kerosakan tanaman akibat El Nino.

Meskipun AS mungkin terlepas daripada kesan langsung yang paling buruk, penduduknya tetap akan merasai impaknya menerusi peningkat kos barangan import dan makanan ruji akibat penyusutan hasil tuaian global.

Kapnick menyifatkan tindak balas bersilang antara krisis geopolitik dan perubahan cuaca ini sebagai contoh jelas bagaimana iklim bertindak sebagai ancaman berganda yang memburukkan lagi gangguan rantaian bekalan dunia. – AGENSI



Source link

OR

Scroll to Top