Harga runtuh tiket separuh akhir Piala Dunia Kelab

Harga runtuh tiket separuh akhir Piala Dunia Kelab


PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengambil langkah drastik menurunkan harga tiket separuh akhir antara Chelsea dan Fluminense di Stadium MetLife, New Jersey pada Rabu, kepada serendah AS$13.40, berbanding AS$473.90 yang ditetapkan sebelum ini.

Stadium MetLife mampu menampung kapasiti seramai 82,500 penonton merupakan venue pasukan Liga Bolasepak Kebangsaan (NFL), New York Giants dan New York Jets.

Sebagai rekod, stadium berkenaan pernah mencatat kehadiran 82,262, semasa Manchester United menewaskan Arsenal, 2-0 semasa siri jelajah musim panas pada 23 Julai 2023.

Langkah itu dilihat sebagai usaha menangani masalah kehadiran penonton yang hambar sepanjang kejohanan Piala Dunia Kelab edisi kali ini yang menggunakan sistem harga dinamik bagi kesemua 63 perlawanan.

Untuk perlawanan separuh akhir sebelah lagi pada Khamis, membabitkan juara Eropah Paris Saint-Germain (PSG) menentang Real Madrid, yang turut berlangsung di New Jersey, harga tiket standard kekal tinggi, bermula sekitar AS$199.60.

Sebelum ini, FIFA turut menurunkan harga tiket peringkat suku akhir kepada hanya AS$11.15 bagi dua perlawanan membabitkan Fluminense menentang Al Hilal di Orlando, Florida dan satu lagi antara Chelsea menentang Palmeiras di Philadelphia.

Menurut laporan, penurunan harga mendadak itu merupakan tanda jelas keresahan penganjur terhadap kekurangan penonton di kebanyakan venue, kecuali perlawanan yang melibatkan Real Madrid.

Kelab gergasi Sepanyol itu mencatat kehadiran tertinggi dengan tidak kurang daripada 60,000 penonton dalam kelima-lima aksi mereka setakat ini.

Perlawanan suku akhir menentang Borussia Dortmund di New Jersey pada Sabtu lalu mencatatkan kehadiran tertinggi kejohanan, dengan 76,611 orang membanjiri Stadium MetLife.

FIFA belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan impak harga dinamik terhadap jumlah kehadiran keseluruhan.

Namun keputusan menurunkan harga secara mendadak menjelang peringkat kemuncak menimbulkan persoalan tentang sambutan penonton tempatan terhadap kejohanan berprestij berkenaan.

PIALA DUNIA KELAB

Separuh Akhir

RABU (9 JULAI)

Fluminense lwn Chelsea, 3 pagi

KHAMIS (10 JULAI)

Real Madrid lwn Paris Saint-Germain, 3 pagi



Source link

OR

Scroll to Top