TRAGEDI memilukan di Lebuhraya Kajang, di mana seorang bayi IVF kembar seiras maut akibat kecuaian pemandu, meruntun hati sesiapa sahaja yang mendengar.
Lebih memilukan, bayi itu bukan sekadar seorang anak biasa. Ia adalah zuriat yang dinanti lebih 12 tahun, lahir daripada linangan air mata, doa tanpa putus, rawatan berulang alik, dan kecekalan seorang wanita bernama Nurul Husna Khairuddin.
Bayangkan, satu-satunya harapan yang dikandung hasil teknologi dan kesabaran, terbahagi menjadi dua janin kembar seiras.
Betapa bahagia pasangan ini ketika mendengar degupan jantung kedua-duanya. Namun kini, separuh daripada bahagia itu telah pergi. Tinggallah seorang kembar yang membesar tanpa teman sejiwa.
Nyawa itu amanah
Islam memandang nyawa manusia sebagai sesuatu yang amat suci. ALLAH SWT berfirman:
“Barang siapa membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu membunuh orang lain atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia semuanya.” (Surah al-Maidah: 32)
Ayat ini jelas menegaskan bahawa meragut satu nyawa ibarat menghapuskan seluruh kemanusiaan. Maka bagaim ana mungkin kita memandang ringan kelalaian pemandu yang meragut nyawa seorang bayi tidak berdosa?
Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim ialah yang mana orang lain selamat daripada kejahatan lidah dan tangannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Apakah nilai seorang Muslim itu jika kelalaiannya di jalan raya menjadi punca orang lain kehilangan anak, isteri, suami atau ibu bapa? Amanah pemandu bukan sekadar mengawal kenderaan, tetapi menjaga keselamatan semua pengguna jalan raya.
LIPUTAN Sinar Harian berkaitan tragedi yang menyayat hati semua rakyat Malaysia.
Nyawa seorang bayi ini merupakan hasil penantian panjang, hasil teknologi moden yang dizinkan ALLAH diragut begitu sahaja oleh kecuaian manusia.
Apakah maknanya kita melaungkan Selamat Hari Merdeka jika masih terikat dengan budaya lalai di jalan raya? Apakah ertinya kita menyambut Maulidur Rasul jika sunnah Baginda SAW tentang amanah, kasih sayang dan menjaga keselamatan sesama manusia tidak kita hayati?
Kemerdekaan: Bebas daripada kecuaian
Kemerdekaan yang baru kita raikan bukan sekadar bebas daripada penjajah. Ia menuntut kita membebaskan diri daripada penjajahan nafsu, sikap sambil lewa, dan kelalaian yang membunuh.
Apabila pemandu yang punya rekod lampau masih bebas di jalan raya, itu petanda kita belum benar-benar merdeka. Kita masih terikat dengan sistem yang longgar, undang-undang yang tidak tegas dan budaya memandang ringan harga sebuah nyawa.
Sarjana kontemporari seperti Sheikh Yusuf al-Qaradawi sering menegaskan bahawa maqasid syariat bertujuan utama syariat Islam untuk menjaga nyawa (hifz al-nafs).
Dr. Tariq Ramadan, juga pernah menegaskan bahawa kemerdekaan sejati lahir daripada tanggungjawab sosial.
Bebas bukan bererti melakukan sesuka hati, tetapi bebas untuk menunaikan amanah demi kesejahteraan orang lain.
Maka, seorang pemandu yang merdeka jiwanya ialah yang memandu dengan amanah, sedar bahawa setiap nyawa di jalan raya ialah amanah ALLAH yang mesti dijaga.
Sarjana Barat seperti John Rawls pula menekankan prinsip keadilan distributive bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan rakyat termasuk keselamatan jalan raya.
Hakikatnya, apabila pemandu yang mempunyai rekod lampau masih dibenarkan mengemudi kenderaan, ia bermakna sistem penguatkuasaan kita gagal memenuhi maqasid syariah dan prinsip keadilan sosial.
Kelemahan ini bukan sekadar kelemahan undang-undang, tetapi pengkhianatan terhadap nyawa rakyat.
Sunnah rasul: Rahmat di jalanan
Maulidur Rasul baru sahaja kita raikan. Baginda SAW merupakan “rahmatan lil ‘alamin” iaitu rahmat buat sekalian alam.
Rasulullah SAW bukan sahaja membawa wahyu, tetapi menunjukkan akhlak yang memastikan manusia hidup harmoni. Baginda SAW melarang keras perbuatan yang mencederakan orang lain, hatta menyakiti dengan kata-kata, apatah lagi meragut nyawa dengan kecuaian.
Sarjana Barat seperti John Rawls menekankan “Justice as fairness” merupakan keadilan mesti ditegakkan dengan memastikan tiada pihak yang dizalimi.
Sedangkan dalam Islam, Maqasid Syariah meletakkan menjaga nyawa (hifz al-nafs) sebagai tujuan tertinggi.
Maka, membiarkan pemandu berisiko tinggi terus mengemudi jalan raya adalah pengkhianatan terhadap prinsip keadilan, Maqasid Syariah dan sunnah rasul.
Tragedi sebagai cermin bangsa
Apakah makna kemerdekaan negara jika rakyatnya masih terikat dengan sikap cuai yang membunuh? Apakah makna cinta kepada rasul jika kita tidak mencontohi akhlaknya menjaga keselamatan dan kesejahteraan sesama insan?

PENANTIAN 10 tahun untuk menatang zuriat, namun akhirnya nyawa salah seorang daripada kembar itu diragut akibat kemalangan pemandu tidak bertanggungjawab.
Tragedi ini adalah cermin retak bangsa kita. Ia mengingatkan kita bahawa pembangunan jalan raya tidak bermakna jika manusia di atasnya masih tidak berakhlak.
Undang-undang tidak bermakna jika penguatkuasaan rapuh. Kemerdekaan tidak bermakna jika nyawa anak kecil masih menjadi korban.
Tindakan tegas, bukan janji kosong
Kita tidak lagi mahu mendengar slogan keselamatan jalan raya yang hanya tinggal kata-kata. Kita menuntut tindakan:
1 – Pemandu dengan rekod kesalahan lampau wajib digantung lesen.
2 – Teknologi pemantauan diperkasa, kamera diperbanyakkan.
3 – Hukuman lebih berat diberi kepada pemandu yang lalai hingga mengorbankan nyawa.
4 – Budaya berhemah di jalan raya diterapkan sejak sekolah, bukan hanya kempen bermusim.
Masyarakat tidak lagi mahu mendengar janji. Pemandu yang mempunyai rekod kesalahan lampau harus diharamkan daripada memandu.
Undang-undang mesti diperkasa, penguatkuasaan mesti tegas kerana harga sebuah nyawa terlalu mahal untuk digadaikan kepada kecuaian.
Kita perlu mencontohi negara-negara maju yang menganggap pemandu berisiko tinggi sebagai ancaman sosial.
Teknologi terkini boleh dimanfaatkan untuk pemantauan, kamera keselamatan diperbanyakkan, dan sistem merit pemandu diketatkan. Jangan sampai tragedi berulang hanya kerana kita lalai belajar daripada kesilapan.
Buat ibu bapa bayi ini, semoga ALLAH SWT mengurniakan kesabaran. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa anak kecil yang meninggal akan menunggu ibu bapanya di syurga sambil memegang tangan mereka, memohon agar ALLAH memasukkan mereka ke dalam syurga bersama.
Moga kesedihan ini menjadi wasilah mengangkat darjat kalian di sisi ALLAH. Bagi kita yang hidup, jangan biarkan tragedi ini menjadi satu lagi kisah yang berlalu.
Jadikan ia titik perubahan bahawa nyawa seorang anak lebih berharga daripada seribu alasan longgar dalam sistem kita.
Tuntasnya, tragedi bayi IVF ini merupakan tamparan buat kita semua. Ia mengingatkan bahawa nyawa bukan angka, tetapi amanah.
Amanah kepada ibu bapa yang berkorban bertahun-tahun, amanah kepada masyarakat yang mahu selamat di jalan raya, amanah kepada ALLAH yang memberikan kehidupan.
Sampai bila kita mahu biarkan pemandu berbahaya terus bermaharajalela di jalanan? Sampai bila nyawa tidak berdosa menjadi korban kecuaian? Kerana satu nyawa yang melayang adalah kehilangan seluruh makna kemanusiaan.
***PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ringkasan AI
- TRAGEDI memilukan di Lebuhraya Kajang melibatkan kematian bayi IVF kembar seiras akibat kecuaian pemandu
- Bayi tersebut adalah harapan yang dinantikan selama lebih 12 tahun melalui proses IVF oleh Nurul Husna Khairuddin
- Islam menganggap nyawa manusia sebagai amanah yang amat suci dan membunuh nyawa sama seperti menghapuskan seluruh kemanusiaan
- Kemerdekaan sejati melibatkan tanggungjawab sosial dan menjaga nyawa orang lain seperti menunaikan amanah
- Tragedi ini menekankan keperluan untuk tindakan tegas terhadap pemandu berisiko tinggi dan penguatan undang-undang serta penguatkuasaan





