Kebiasaannya, permainan Lego ini hanya diminati golongan kanak-kanak. Namun, tidak ramai yang tahu ada juga golongan dewasa yang gemar mengumpul permainan itu sehingga membentuk sebuah komuniti.
Seperti pengacara, Naz Rahman atau nama lengkapnya, Nazrudin Habibur Rahman, kegilaannya terhadap koleksi Lego itu membuka jalan untuknya melabur dengan lumayan.
Menurut Naz, harga sebuah set Lego itu boleh meningkat sehingga mencecah ratusan ribu ringgit mengikut peredaran masa.
“Sebenarnya benda ini bermula dari komuniti. Komuniti Lego ini sangat rapat lebih-lebih lagi jika kita perlukan beberapa warna untuk hasilkan sesebuah reka bentuk.
“Bayangkan, sesetengah set Lego harga dia cecah ratusan dan ribuan ringgit. Malah, harganya juga semakin meningkat. Ada kalanya boleh jadi lebih tinggi dari emas. Pulangan dari jualan harga Lego itu kadarnya lebih lumayan,” katanya kepada Pancaindera.
Kata pengacara yang berusia 47 tahun itu, dia pernah mendapat pulangan yang berganda dari harga sebenar sebuah set Lego selepas menjual semula koleksi tersebut kepada kolektor lain.
“Saya pernah beli satu set Lego yang berharga RM800 saya simpan selama lapan tahun tetapi ada orang mahu beli Lego itu. Pada awalnya saya sayang untuk jual, saya letakkan harga RM5,000 dan orang itu tetap beli dengan tunai,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, minatnya yang sudah terbentuk sejak 17 tahun lalu itu juga mampu membuatnya membuka sebuah kafe yang penuh dihiasi koleksi Lego suatu ketika dahulu.
Tambahnya, dia juga mempunyai sebuah pusat pendidikan yang membantu perkembangan golongan autisme untuk menghasilkan sebuah rekaan melalui Lego yang terkumpul.
“Saya sudah mengumpul koleksi Lego selama 17 tahun. Minat ini sampai saya buka sebuah kafe yang penuh dihiasi dengan koleksi Lego. Tetapi, kafe itu sudah ditutup lima tahun lalu.
“Saya juga ada sebuah pusat pendidikan lego untuk orang autisme. Siapa yang mampu bayar, boleh bayar. Siapa yang tidak mampu, kita subsidi. Minat ini saya jadikan sebagai punca pendapatan sampingan.
“Tetapi saya banyak buat kerja amal seperti ambil pekerja dari golongan B40 sahaja. Mereka yang tiada SPM, mereka akan belajar dengan saya bahasa Inggeris dan berikan kemahiran yang mereka perlukan seperti barista, kulinari dan sebagainya,” katanya.
Bagi pengacara itu, setiap kepingan Lego mampu menguji tahap kreativiti sesetengah individu tanpa batas untuk mencipta pelbagai reka bentuk.
Bahkan, kegilaannya terhadap Lego ini secara tidak langsung berjaya mempengaruhi minat anak-anaknya supaya menjadi lebih fokus dan kreatif.
“Falsafah saya ialah Lego ini ikut kreativiti kita. Tiada batas dan kita akan ajar cara untuk belajar. Kalau berpegang pada metodologi itu, apa-apa pun akan jadi senang.
“Suatu ketika dahulu saya pernah berhenti mengumpul koleksi Lego. Namun, minat itu muncul kembali sejak saya memiliki anak kerana dia sukar untuk fokus ketika di sekolah.
“Jadi, saya belikan sebuah set Lego yang murah pada ketika itu untuk membantu kemahiran motor, fokus dan kreativitinya,” jelasnya.
Ditanya mengenai ciptaan paling menarik yang pernah dihasilkan, pengacara berkaliber itu memberitahu dia pernah menghasilkan mural beberapa figura terkenal seperti Yuna, Lisa Surihani dan Lee Chong Wei.
“Saya ada berkolaborasi dengan salah seorang dari komuniti ini untuk hasilkan sebuah mural potret Yuna. Kemudian saya hadiahkan kepada Yuna sendiri. Selain Yuna, saya juga ada hasilkan mural Lee Chong Wei dan Lisa Surihani.
“Kebanyakan mereka yang berkolaborasi dengan saya ini malu untuk tonjolkan diri kerana mereka juga sudah berusia. Selalunya kami mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan sebuah mural,” ujarnya.