Harga siling beras tempatan perlu disemak semula -Mohamad Sabu

Harga siling beras tempatan perlu disemak semula -Mohamad Sabu


KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berpendapat harga siling beras tempatan perlu disemak semula dengan mengambil kira kos pengeluaran semasa, unjuran kos pada masa hadapan serta pergerakan harga beras putih dunia.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya telah pun menubuhkan satu petugas khas bagi meneliti isu-isu berkaitan industri padi dan beras negara termasuk kajian daya saing struktur harga padi dan beras negara.

“Di samping itu, pihak kementerian sedang menunggu laporan hasil kajian terhadap industri padi dan beras yang bakal dikemukakan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak lama lagi.

“Dapatan hasil kajian tersebut akan dijadikan rujukan kepada pihak KPKM untuk
menambah baik industri padi beras melalui task force yang telah ditubuhkan.

“KPKM ingin memberi komitmen bahawa kebajikan para pesawah akan terus diutamakan dan diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, harga maksimum beras putih tempatan (BPT) telah ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram sejak tahun 2008 bagi memastikan rakyat mendapat beras pada harga yang berpatutan ekoran peningkatan mendadak harga beras di pasaran global.

Namun jelas beliau selepas 16 tahun, harga maksimum beras tempatan tersebut belum lagi disemak.

“Harga jualan BPT adalah berkait langsung dengan harga belian padi. Sejak tahun 2008, harga lantai belian padi telah dinaikkan daripada RM750 per tan metrik kepada RM1,200 per tan metrik pada tahun 2014 dan terkini pada kadar RM1,300 setiap tan metrik manakala harga BPT masih kekal tidak berubah,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top