Harga tiket penerbangan naik ekoran lonjakan kos bahan api

Harga tiket penerbangan naik ekoran lonjakan kos bahan api


CANBERRA: Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Qantas Airways (Australia), SAS (Skandinavia) dan Air New Zealand mengumumkan kenaikan tambang bermula semalam, berikutan lonjakan mendadak kos bahan api kesan daripada konflik di Asia Barat.

Harga bahan api pesawat yang sebelum ini berada pada paras AS$85 hingga AS$90 (RM333.65 hingga RM353.29) setong melonjak drastik kepada antara AS$150 hingga AS$200 (RM588.82 hingga RM785.09) setong sejak beberapa hari lalu, lapor syarikat penerbangan nasional New Zealand.

Konflik tersebut bukan sahaja menjejaskan laluan eksport minyak paling kritikal di dunia, malah mencetuskan kebimbangan akan berlakunya kemerosotan industri pelancongan global yang serius sehingga memaksa banyak pesawat ‘direhatkan’ di darat.

“Peningkatan pada magnitud ini memerlukan tindak balas segera bagi mengekalkan operasi yang stabil dan boleh dipercayai,” jelas jurucakap SAS yang turut mengesahkan pelaksanaan pelarasan harga sementara buat masa ini.

Sementara itu, syarikat penerbangan Eropah seperti Lufthansa dan Ryanair dilaporkan sedikit bernasib baik kerana mempunyai polisi lindung nilai minyak yang menjamin sebahagian bekalan pada harga tetap.

Namun, Finnair memberi amaran ketersediaan bekalan bahan api itu sendiri mungkin terancam jika konflik ini terus berlarutan.

Situasi ini menjadi tamparan berganda buat syarikat penerbangan India seperti Air India dan IndiGo.

Selain terpaksa berdepan kenaikan kos bahan api, mereka juga tidak dapat menggunakan ruang udara Pakistan yang telah disekat sejak April tahun lalu akibat ketegangan ketenteraan antara kedua-dua negara jiran tersebut.

Sekatan ruang udara di Asia Barat memaksa syarikat penerbangan India melakukan penjadualan semula dan perubahan laluan yang jauh lebih panjang.

Data daripada Cirium menunjukkan sebanyak 64 peratus daripada 1,230 penerbangan berjadual ke Asia Barat, Eropah, dan Amerika Utara oleh syarikat penerbangan utama India gagal beroperasi dalam tempoh 10 hari yang lalu.- AGENSI





Source link

OR

Scroll to Top