Hargai hos berbakat

Hargai hos berbakat


georgie@hmetro.com.my

MEMASUKI edisi keempat, Majlis Anugerah Kami Sempoi Red Carpet Golden Awards berlangsung gilang-gemilang baru-baru ini. Acara tahunan yang meraikan pengamal TikTok itu nyata cukup dinantikan

Kehadiran kira-kira 3,000 tetamu kehormat dan ahli agensi memeriahkan suasana, mencerminkan semangat kekeluargaan dan kejayaan yang dikecapi bersama.

Majlis itu bukan sekadar acara penganugerahan, tetapi manifestasi penghargaan tertinggi kepada individu yang menunjukkan prestasi cemerlang di bawah Kami Sempoi International Agency.Pengasasnya, To Chin Swee atau lebih dikenali sebagai Pakcik Chin Swee bersyukur dan lega atas kelancaran majlis yang dianggap sebagai satu lagi detik bersejarah bagi agensi dipimpinnya itu.

“Majlis berjalan lancar, meriah dan sekali lagi malam yang bersejarah kami adakan untuk Kami Sempoi Red Carpet Golden Awards,” katanya dengan nada terharu.

Terus berdiri teguh selama empat tahun, Chin Swee menyifatkan ia satu pencapaian yang membuktikan konsistensi dan pertumbuhan berterusan agensinya.

“Ini tahun yang keempat buat kami. Sejak 2021 sehingga hari ini, alhamdulillah makin ada penambahbaikan.

“Penambahbaikan yang berterusan ini menjadi bukti komitmen agensi untuk sentiasa memberikan yang terbaik kepada ahli kami,” katanya.

Chin Swee menjelaskan penambahbaikan dimaksudkan itu bukan hanya tertumpu kepada aspek pengurusan pasukan, tetapi merangkumi keseluruhan struktur dan operasi agensi.

Beliau mengakui bahawa menguruskan sebuah organisasi yang besar dengan keahlian mencecah ribuan orang bukan satu tugas mudah.

Dengan lebih 3,000 ahli dari Malaysia dan Singapura serta tambahan 1,500 ahli di Indonesia, cabaran logistik dan pengurusan sememangnya signifikan.

Namun, Chin Swee menekankan bahawa kejayaan dikecapi itu hasil daripada penerapan budaya kekeluargaan yang erat dalam agensi. Ia menjadi tunjang kekuatan dan pengikat semangat kerjasama ahlinya.

Momentum kejayaan itu diteruskan dengan pengumuman rancangan pembukaan cawangan pejabat baru di Kota Kinabalu, Sabah. Langkah strategik ini dijangka dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Ia bertujuan untuk mengukuhkan lagi kehadiran agensi di sana dan mendekatkan diri dengan komuniti di sana.

Selain perkembangkan syarikat, agensi itu juga bakal menceburi bidang penerbitan muzik dengan pelancaran label muzik dan rakaman sendiri yang dikenali sebagai Kami Sampoy Muzik and Records.

Ini adalah satu langkah berani yang menunjukkan visi agensi untuk mempelbagaikan cabang perniagaan dan meneroka potensi baharu dalam industri kreatif.

“Kami akan terbitkan lagu dan lancarkannya. Ini semua adalah untuk ahli ataupun hos rasmi TikTok di bawah Kami Sempoi yang berbakat dalam nyanyian,” katanya.

Beliau optimis bahawa platform itu akan menjadi landasan mencungkil dan menggilap bakat terpendam, khususnya dalam kalangan hos langsung TikTok yang berada di bawah naungan agensi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top