'Hari ni last aku melawak dengan hang'

'Hari ni last aku melawak dengan hang'


Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

am@hmetro.com.my

Parit Buntar: “Hari ‘last’ (terakhir) aku nak melawak dengan hang.”

Itu gurauan Muhamad Nor Amin Sahrudin, 27, kepada seorang daripada adiknya sebelum maut apabila kereta Proton Wira yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler muatan minyak kelapa sawit berhampiran JPJ Cawangan Taiping, awal pagi tadi.

Nenek mangsa, Munah Rashidi, ,87, berkata, arwah sempat bergurau dengan adiknya sebelum keluar dari rumah di Parit Haji Manan, kira-kira 9 pagi semalam untuk menghadiri kenduri di Kuala Gula.

“Difahamkan, selepas ke kenduri dia ke Taiping untuk berjumpa dengan rakan-rakannya.

“Namun, kira-kira 3 pagi tadi pegawai polis dari Taiping menghubungi bapanya dan memaklumkan kejadian yang menimpanya,” katanya ditemui media di kediamannya di Parit Haji Manan, Kuala Kurau, di sini, hari ini.

Dia turut difahamkan dua hari sebelum kejadian, Muhamad Nor Amin sempat berjumpa ibu kandungnya di Bagan Serai dan turut memaklumkan itu kali terakhir dia akan berjumpanya.

Munah berkata cucunya itu adalah anak ke lima dari lapan beradik yang dijaganya sejak kecil.

“Amin cucu yang paling rapat dan sering menjaga saya, dari kecil dia tinggal dengan saya kerana ibunya berkerja kilang.

“Kini dia sudah tiada, namun saya reda,” katanya.

Jenazah Nur Amin akan disembahyang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Batu, Kuala Kurau pada petang ini.

Terdahulu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima laporan kemalangan membabitkan sebuah kereta merempuh sebuah lori tangki di hadapan JPJ Taiping pada jam 2.03 pagi hari ini.

Kemalangan menyebabkan pemandu, seorang lelaki berusia 27 maut di lokasi kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top