HARI paling gemilang buat Barcelona apabila Fermin Lopez meledak hatrik dan Marcus Rashford terus mempamerkan ketajaman penyudahnya ketika membelasah wakil Greece, Olympiacos 6-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Olimpik Lluís Companys pada Rabu.
Pemain tengah muda Sepanyol itu membuka pesta gol dengan dua penyudah kemas pada babak pertama, sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-76 yang disaksikan 46,264 penonton.
Lamine Yamal turut menyumbang satu gol menerusi sepakan penalti, manakala Rashford menambah dua lagi jaringan untuk mengukuhkan kemenangan bergaya skuad bimbingan Hansi Flick.
Barcelona mendahului seawal minit ketujuh hasil gerakan sepasukan yang cantik apabila Fermin bijak menyambar bola muntah selepas percubaan Yamal ditepis penjaga gol lawan, Konstantinos Tzolakis.
Setengah jam kemudian, pemain berusia 21 tahun itu sekali lagi menampilkan ketenangan luar biasa dengan rembatan ke penjuru gawang Olympiacos.
Separuh masa kedua bermula dengan insiden dramatik apabila jaringan Ayoub El Kaabi yang disangka mengurangkan defisit dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku ofsaid.
Namun, dalam situasi sama, pengadil Urs Schnyder menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat selepas bola terkena tangan Eric Garcia, dan El Kaabi tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol saguhati.
Biarpun begitu, kegembiraan Olympiacos tidak kekal lama apabila Santiago Hezze diarah keluar padang tiga minit kemudian selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari Marc Casado.
Lamine Yamal yang baru berusia 18 tahun 100 hari muncul sebagai pemain termuda dalam sejarah mencapai 25 penampilan Liga Juara-Juara.
Pemain remaja itu juga menunjukkan keyakinan luar biasa apabila menyempurnakan penalti selepas Rashford dijatuhkan ketika cuba melepasi Tzolakis.
Selepas itu, Rashford menjadikan kedudukan 5-1 pada minit ke-74 sebelum Fermin melengkapkan hatriknya dua minit kemudian, sekali gus menjadi pemain Sepanyol pertama menjaringkan hatrik Liga Juara-Juara untuk Barcelona.
Rashford kemudian menambah satu lagi jaringan hasil kawalan mengagumkan sebelum melepaskan rembatan padu.
Sebagai rekod, dalam 37 penampilan Liga Juara-Juara bersama Manchester United, penyerang England itu hanya dua kali meledak lebih daripada satu gol dalam pusingan 32 terbaik, dan kedua-duanya kini bersama Barcelona.
Sementara itu, Flick memuji ketajaman Rashford yang menurutnya kini semakin menyesuaikan diri dengan peranan sebagai penyerang tengah.
“Rashford bermain sangat baik hari ini. Bukan mudah untuk beraksi sebagai nombor sembilan, tetapi dia memberikan saya 100 peratus.
“Dia menang penalti, menjaringkan gol dan terus bekerja keras untuk pasukan,” kata Flick.
Kemenangan besar ini menjadi pesta jaringan pertama Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara sejak kejayaan bersejarah 6-1 menundukkan Paris Saint-Germain pada 2017.
Selepas tiga perlawanan, Barcelona mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Newcastle (2-1), kekalahan tipis kepada PSG (1-2), diikuti malam gemilang 6-1 ke atas Olympiacos.
Sebaliknya, wakil Greece itu terus dirundung malang apabila mencatat kekalahan ke-12 berturut-turut dalam aksi di gelanggang lawan kejohanan elit Eropah itu.
Ringkasan AI
- Barcelona melibas Olympiacos 6-1 dalam Liga Juara-Juara
- Fermin Lopez menjaringkan hatrik dan Rashford menambah dua gol
- Lamine Yamal menjadi pemain termuda mencapai 25 penampilan Liga Juara-Juara
- Ayoub El Kaabi menjaringkan gol sagu hati untuk Olympiacos
- Kemenangan besar ini menjadi pesta jaringan pertama Barcelona dalam Liga Juara-Juara sejak 2017