Hari pertama kembali bekerja, suami dan bayi pergi serentak

Hari pertama kembali bekerja, suami dan bayi pergi serentak


MELAKA: Hari pertama kembali bekerja selepas tamat tempoh berpantang bertukar detik hitam buat seorang wanita, apabila suami dan bayi lelakinya berusia tiga bulan ditemukan maut di rumah mereka di Kampung Perigi Hang Tuah, Duyong di sini, pagi tadi.

Mangsa, Nurul Efendy Ibrahim, 35, dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung dan kemudian menghempap anak bongsunya, Muhammad Nur Daniel Nurul Efendy yang sedang tidur di sebelahnya atas katil.

Si isteri, Azura Abdul Malik Yaher, 37, keluar bekerja seawal pukul 6.45 pagi selepas menghantar dua lagi anak mereka berumur 16 dan 15 tahun ke sekolah.

Adik Nurul Efendy, Masturadiana Ibrahim, 33, berkata, kakak iparnya pulang ke rumah sekitar pukul 9.30 pagi untuk membawa Muhammad Nur Daniel ke klinik kesihatan bagi pemeriksaan bulanan.

Katanya, usai tiba, Azura cemas apabila pintu rumah berkunci dan suaminya tidak menjawab panggilan.

“Kakak ipar saya panjat tingkap belakang rumah dan sebaik masuk ke bilik, dia dapati suaminya dalam keadaan terlentang dengan tangan kanan menghempap muka bayi, bayi pula sudah pucat dan biru.

“Ketika itu dia tergesa-gesa datang ke rumah saya sambil menjerit ‘Yana, Yana, tolong, anak kakak dah tak bernyawa’, saya terus bantu bawa mereka ke hospital,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan maut selepas dipercayai lemas kerana dihempap lengan bapanya yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Kampung Perigi Hang Tuah.

Masturadiana berkata, bayi malang itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital manakala kematian si bapa disahkan pasukan perubatan yang tiba di rumah.

“Menurut pihak kesihatan, kemungkinan abang saya sudah meninggal dunia sejam atau dua jam lebih awal berdasarkan keadaan tubuhnya.

“Semalam dia ada mengadu sakit dada, tetapi menolak untuk ke hospital, kami tak sangka ia jadi seteruk ini,” katanya.

Katanya, Allahyarham abangnya yang menjalankan bengkel kecil di hadapan rumah tidak mempunyai sejarah penyakit jantung.

“Kejadian ini sangat mengejutkan, Muhammad Nur Daniel Merupakan anak ketiga mereka selepas 15 tahun jarak dengan anak kedua,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top