September 8, 2024

Hari Terbuka NIC bukan sekadar peluang sambung belajar, cari pekerjaan

Hari Terbuka NIC bukan sekadar peluang sambung belajar, cari pekerjaan


KUALA LUMPUR – Hari Terbuka National Integrated College (NIC) bukan sahaja memberi pendedahan mengenai peluang menyambung pelajaran dan mendapatkan pekerjaan.

Malah para pengunjung disediakan dengan perkhidmatan, nasihat serta maklumat penting mengenai bantuan dan inisiatif disediakan pelbagai pihak berkepentingan.

Suasana sekitar Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 20 JULAI 2024.

Hari terbuka NIC yang dianjurkan di Pusat Beli Belah Datum Jelatek di sini dengan kerjasama Datum Jelatek Shopping Centre, DatumCorp International, BECTA Training Academy dan MalaysiaGazette.

Menurut pegawai pentadbiran sistem NIC, Amirul Annuar Hanin, NIC memberikan fokus membantu pelajar yang tidak berkemampuan dan berminat menyambung pelajaran tetapi tidak mendapat keputusan memberangsangkan.

Amirul Annuar Hanin

“Di sini, kami akan cuba membantu pelajar sebaik mungkin dari segi mencari tempat tinggal, kewangan dan ada situasi di mana kami membantu mendapatkan kerja separuh masa yang sesuai untuk menampung perbelanjaan diri mereka.

“Selain itu, kami juga menawarkan khidmat Pembelajaran Jarak Jauh (PJJ) untuk pelajar kurang berkemampuan yang jauh dari pusat pembelajaran, hal ini adalah untuk mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya di sini hari ini.

Hari Terbuka NIC turut dimeriahkan dengan penyertaan pelbagai agensi yang berkait rapat dengan penyediaan pembiayaan pembelajaran dan peluang pekerjaan.

Antara yang mengambil bahagian adala Majlis Agama Islam Wilayah Kuala Lumpur (MAIWP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan HRD Corp.

Pembantu Tadbir MAIWP, Kamarul Atikah Matsom berkata, pihaknya menawarkan bantuan awal kemasukan ke kolej dan bantuan one off secara semester namun hanya tertakluk kepada pemaustatin di Wilayah Persekutuan sahaja.

Kamarul Atikah Mastom

“Bagaimanapun, pemohon mestilah berasal dari golongan asnaf atau fakir serta mempunyai dokumen yang lengkap. Mereka yang ingin mendapatkan bantuan zakat boleh datang ke bangunan MAIWP atau di mana-mana pusat agihan zakat yang berdekatan,” ujarnya.

Mengulas mengenai pinjaman pelajaran yang disediakan, Eksekutif Jualan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Haris Munawari berkata, pihaknya menawarkan promosi pembayaran semula, deposit serta pembukaan akaun SSPN.

Haris Munawari

“PTPTN menawarkan pinjaman kepada para pelajar yang ingin menyambung pelajaran dan bayaran semula boleh dilakukan selepas setahun tempoh tamat pengajian.

“Para pelajar yang tidak ada pembiayaan dari sebarang institusi boleh memohon pinjaman PTPTN kerana proses permohonan mudah, yang memerlukan hanya surat tawaran lalu daftar permohonan di aplikasi kami,” kata Haris.

Persatuan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut menawarkan program peningkatan kemahiran di mana pekerja dalam bidang tidak formal seperti pekerja gig, pekerja kampung, mereka yang bekerja sendiri dan pekerja ladang berpeluang untuk menyertai sektor pekerjaan formal.

Ketua Negeri Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Kuala Lumpur, Ahmad Farid Ahmad Rizal berkata, inisiatif lanjutan Bina Kerjaya 2.0 ini merupakan lanjutan Belanjawan 2024 di mana kerajaan memberikan subsidi sehingga RM4,000 kepada pekerja yang tidak formal.

Ahmad Farid Ahmad Rizal

Peserta akan melalui pengajian microcredential/ pensijilan profesional/ kompetensi yang disediakan serta menerima elaun latihan berjumlah RM30 sehari untuk tempoh maksima 20 hari.

Pameran seperti ini semestinya dapat memberikan ilmu baharu kepada para pengunjung untuk menjadi lebih cerna terhadap hal-hal yang perlu dititikberatkan dalam proses menyambung pelajaran.

Sementara itu, pempengaruh terkenal, Nur Dahlia Ahmad Rizal, berkata, semua benda yang dilakukan dalam hidup bermula dengan belajar.

Pempengaruh Nur Dahlia Rizal bersama pelajar-pelajar bergambar dihadapan booth Malaysiagazette pada hari pertama sempena Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Pusat Beli Belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 20 JULAI 2024.

“Pelajaran merupakan sesuatu yang sangat penting walaupun saya bekerja sebagai seorang model sepenuh masa, saya telah menamatkan pelajaran ijazah sarjana muda dalam pengurusan sumber manusia.

“Bagi mereka yang ingin menyambung pelajaran dan mencari pekerjaan, jangan putus asa kerana apa yang kita usahakan akan menimbulkan hasil pada masa akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top