Harimau Kumbang buru penamat cemerlang di Temerloh

Harimau Kumbang buru penamat cemerlang di Temerloh


PENGENDALI Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mahu anak buahnya mengekalkan momentum kemenangan apabila bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada Sabtu untuk berdepan Sri Pahang dalam aksi terakhir Liga Super musim ini.

Beliau mengakui skuad Harimau Kumbang kini berada dalam prestasi terbaik selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut ke atas Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur City sebelum ini.

“Ya, sasaran kami dalam perlawanan ini adalah untuk meraih tiga mata penuh bagi menamatkan kempen liga musim ini dengan nota cemerlang.

“Alhamdulillah, kami juga menjangkakan Fandi Ahmad akan menurunkan barisan terbaiknya menentang kami sebelum mereka berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final Piala Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar.

Bagaimanapun, Wan Rohaimi mengingatkan barisan pemainnya agar tidak memandang rendah kemampuan Sri Pahang yang juga dalam prestasi baik ketika ini.

“Saya akui perlawanan ini tidak mudah. Pahang bukan lawan yang boleh dipandang enteng. Kami perlu kekal fokus dan bersedia dengan segala kemungkinan,” ujarnya.

Penang FC kini berada di tangga ke-10 carta Liga Super dengan 26 mata selepas mengharungi 23 perlawanan, hasil kemenangan ke atas Negeri Sembilan (2-0) dan Kuala Lumpur City (1-0) sebelum ini.

Dalam masa sama, Wan Rohaimi menjangkakan perlawanan yang sengit menanti mereka berdepan skuad Tok Gajah yang turut mencatat tiga kemenangan berturut-turut.

“Seperti biasa, saya tekankan aspek persediaan rapi dan fokus sepenuhnya sebelum turun ke padang.

“Pemain perlu bersedia dengan segala asakan daripada Sri Pahang yang kini berada dalam rentak kemenangan,” katanya lagi.



Source link

OR