am@hmetro.com.my
Seremban: Seekor lagi harimau kumbang dirakam kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan ketika melintas jalan di negeri ini dan dimuat naik di media sosial.
Kali ini lokasinya di Jalan Temiang- Pantai, dekat sini yang mendapat jolokan ‘New Zealand’ kerana pemandangan bukit menghijau di kiri dan kanan jalan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya mengesahkan video berkenaan dan menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhemah ketika menggunakan laluan itu.
“Beberapa papan tanda amaran berkenaan laluan haiwan liar sebelum ini sudah dipasang di kawasan itu dan Unit Harimau Malaya akan terus memantau perkara itu.
“Hasil pemerhatian terhadap video yang tular itu, kita dapati haiwan berkenaan hanya melintas untuk menyeberangi ke hutan sebelah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, tular video berdurasi 11 saat yang memaparkan harimau kumbang melintas di Jalan Temiang-Pantai.
Laluan berkenaan menjadi lokasi bergambar pengguna jalan raya yang berhenti di tepi jalan kerana pemandangannya yang cantik selain laluan pilihan untuk rekreasi seperti berbasikal dan joging.
Jalan berkenaan juga menjadi lokasi penggambaran filem pecah panggung yang ditayangkan baru-baru ini dalam satu babak pelakon Sharnaaz Ahmad menunggang motosikal berkuasa tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd