Harimau Malaya buru penutup sempurna 2025

Harimau Malaya buru penutup sempurna 2025


Cklamovski: FOTO SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID

PENGENDALI skuad kebangsaan, Peter Cklamovski bertekad memastikan Harimau Malaya menamatkan tahun 2025 dengan rekod tanpa kalah apabila menentang Nepal dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 18 November ini.

Jurulatih kelahiran Australia itu menegaskan rentak positif yang dibina sejak awal tahun perlu diteruskan, sambil menuntut setiap pemain mengekalkan semangat juang dan disiplin tinggi apabila kembali ke kem latihan bulan depan.

“Kita kini menerajui kumpulan dan itu petanda baik buat pasukan. Saya bangga dengan kerja keras pemain setakat ini, namun misi kita belum selesai.

“Tiga mata menentang Nepal amat penting untuk menutup tahun ini tanpa kekalahan,” katanya.

Sejak mengambil alih tugas pada awal tahun, Cklamovski berjaya membimbing Malaysia mencatat enam kemenangan dan satu seri dalam tujuh perlawanan termasuk aksi persahabatan.

Antara keputusan paling mencuri tumpuan termasuk kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam, menewaskan Palestin 1-0, Singapura 2-1 dua kemenangan bergaya ke atas Laos (3-0 dan 5-1), serta kejayaan mengatasi Nepal 2-0 dalam aksi pembukaan kumpulan.

Satu-satunya keputusan seri hadir ketika menentang Cape Verde, pasukan yang sudah layak ke Piala Dunia 2026 apabila terikat 1-1, petunjuk jelas kemampuan skuad negara bersaing di pentas antarabangsa.

Dalam pada itu, Cklamovski berkata tempoh hampir setahun bersama pasukan telah memperlihatkan peningkatan ketara dalam aspek taktikal dan disiplin pemain, selain pemahaman yang lebih mendalam terhadap falsafah permainan moden yang diterapkannya.

“Kami sedang membina asas kukuh untuk masa depan. Pemain semakin matang, semakin memahami cara kami mahu bermain.

“Ini bukan masa untuk berpuas hati tetapi masa untuk naik ke tahap seterusnya,” tegas jurulatih berusia 46 tahun itu.

Ringkasan AI

  • Peter Cklamovski bertekad Harimau Malaya menamatkan tahun 2025 tanpa kalah bertemu Nepal
  • Cklamovski menuntut semangat juang tinggi dari pemain
  • Malaysia menerajui kumpulan dengan enam kemenangan dan satu seri
  • Kemenangan besar termasuk 4-0 ke atas Vietnam dan 2-0 atas Nepal
  • Cklamovski melihat peningkatan ketara dalam taktikal dan disiplin pemain



Source link

OR

Scroll to Top