PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan peranan baginda dalam revolusi pasukan bola sepak Harimau Malaya yang sedang rancak berlaku ketika ini.
Menurut Tunku Mahkota Ismail, baginda diminta untuk membantu kerajaan, Kementerian Belia dan Sukan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menambah baik serta memperkasakan pasukan Harimau Malaya.
Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu hantaran di laman X menjelaskan baginda bekerja dengan pasukannya sendiri selain menafikan mempunyai kaitan dengan mana-mana laman pencari bakat di laman media sosial.
“Saya tiada sumber rapat. Saya tak kenal pun orang atau page ini. Saya tiada kaitan dengan sesiapa dan mana-mana pihak.
“Saya hanya diminta bantu kerajaan Malaysia, KBS, FAM dan bekerja dengan pasukan saya sendiri untuk membantu pasukan kebangsaan dalam struktur, kemudahan latihan, teknologi, memberikan pendedahan serta hubungan dengan organisasi bola sepak berjaya yang saya kenali,” kata baginda.
Menurut Tunku Mahkota Ismail, baginda mempunyai keupayaan selain kenalan dalam dunia bola sepak sepak di peringkat global dan boleh membantu pasukan negara.
“Kalau fikir secara rasional dan berdasarkan fakta. Hanya saya yang anda semua ada. Yang lain setakat bercakap, tak sanggup beri sokongan kewangan dan kenalan mereka pun tak seberapa.
“Saya ada infra, Alhamdulillah rezeki, dan contact dengan dunia bola sepak secara global dan berjaya. Hanya saya yang anda semua ada buat masa ini. So suka tak suka, minta maaf,” katanya.
Sebelum ini, revolusi Harimau Malaya hangat diperkatakan apabila FAM telah mengumumkan jurulatih baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain yang akan mengemudi skuad B-23 negara bermula bulan depan.
Dalam masa terdekat, beberapa jawatan dalam pengurusan baharu Harimau Malaya seperti ketua pegawai eksekutif dan pengarah teknikal yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Malah, skuad negara difahamkan akan diperkuatkan dengan beberapa pemain warisan dan naturalisasi baharu yang sedang diusahakan oleh baginda.
Selain itu, Tunku Mahkota Ismail juga sudah berjumpa dengan beberapa individu penting seperti Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden Paris Saint-Germain, Nasser Al-Khelaifi baru-baru ini.