Harimau Malaya ikat pasukan ranking 72 dunia

Harimau Malaya ikat pasukan ranking 72 dunia


Harimau Malaya berjaya mengikat Cape Verde dalam aksi persahabatan pada Khamis.

SKUAD Harimau Malaya berjaya mencatat keputusan seri 1-1 menentang pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde dalam aksi persahabatan Tier 1 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis.

Persembahan anak buah Peter Cklamovski wajar mendapat pujian apabila berjaya mengekang asakan pasukan lawan yang memiliki kualiti yang lebih baik, selain mencipta deretan peluang berbahaya mencemaskan kubu Cape Verde.

Malah, ia juga memberikan petanda positif sebelum aksi getir bertemu Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini.

Dalam perlawanan itu, Malaysia hampir membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi pemain warisan, Gabriel Palmero yang melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti, namun percubaannya hanya menggegarkan tiang gol.

Kegagalan menyempurnakan peluang itu dihukum lawan seminit kemudian apabila Sidny Lopes Cabral bijak memperdaya pertahanan negara, Daniel Ting sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan Ahmad Syihan Hazmi untuk meletakkan Cape Verde di depan.

Tersentak dengan jaringan itu, Harimau Malaya cuba bangkit melalui percubaan pada minit ke-21 menerusi percubaan Arif Aiman Hanapi, namun penjaga gol Cape Verde, Josimar Dias pantas menafikan cubaan tersebut.

Malaysia tampil dengan aksi lebih kemas pada separuh masa kedua menerusi peluang gol pada minit ke-61 apabila hantaran lintang Ubaidullah Shamsul gagal disudahkan oleh Nooa Laine yang hanya sedikit terlewat di depan gawang.

Arif Aiman sekali lagi hampir mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-69 selepas berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, namun gagal menyempurnakan peluang keemasan itu.

Usaha berterusan Harimau Malaya akhirnya membuahkan hasil apabila pemain gantian, Paulo Josue berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-79 menerusi penyudah kemas hasil hantaran Quentin Cheng.

Josue, yang juga penyerang berbisa Kuala Lumpur City, hampir menggandakan jaringan beberapa minit kemudian, namun rembatannya diselamatkan penjaga gol Cape Verde.

Harimau Malaya akan kembali turun menentang Cape Verde dalam aksi persahabatan tertutup pada Selasa depan sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 10 Jun.



Source link

OR

Scroll to Top