Harimau Malaya kini ancaman Asia Tenggara

Harimau Malaya kini ancaman Asia Tenggara


Harimau Malaya ialah simbol kebanggaan rakyat Malaysia dan penyokong perlu bersama skuad negara dalam apa jua keadaan. Gambar kecil: Safee

SKUAD Harimau Malaya kini berada pada tahap berprestij sehingga menjadi perhatian dan ancaman kepada negara-negara jiran di Asia Tenggara.

Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali berpandangan skuad kebangsaan telah menunjukkan perkembangan positif dan menjadi pasukan yang semakin digeruni, khususnya selepas beberapa siri keputusan cemerlang sebelum ini.

“Pada pandangan saya, semua negara jiran sudah mula risau dengan kekuatan Harimau Malaya.

“Sekarang ini peluang untuk pemain-pemain lain bangkit dan meneruskan momentum pasukan,” katanya menerusi InstaStory yang turut memaparkan laporan mengenai tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara.

Pada masa sama, Safee antara anggota skuad yang merangkul Kejuaraan Piala AFF 2010 menggesa penyokong agar kekal bersatu dan memberikan sokongan padu kepada skuad negara tanpa terikut-ikut dengan emosi ketika FIFA baru mengeluarkan kenyataan awal berhubung kes tersebut.

“Jika ketika menang kita bersorak bersama, saat diuji seperti ini kita perlu hadir dengan sokongan lebih kuat dan tidak berbelah bahagi.

“Harimau Malaya adalah pasukan kebanggaan kita. FIFA baru mengeluarkan kenyataan sedikit, sudah ramai yang melatah mengecam negara sendiri. Seolah-olah tidak sabar menunggu fakta penuh,” ujar bekas pemain berusia 41 tahun berkenaan.

Safee turut mengingatkan penyokong agar tidak menjatuhkan hukuman sebelum kes diputuskan sepenuhnya kerana semua pihak berhak mempertahankan diri.

“Orang dituduh membunuh pun masih diberikan peguam bela dan peluang mempertahankan diri. Ini belum tentu salah, tetapi ramai sudah jadi hakim dan juri.

“Bila negara kita dituduh, sepatutnya kita bersatu hati, bukan saling tuduh-menuduh. Berdiri teguh dahulu, kemudian nilai dengan akal, bukan emosi,” tegasnya.

Beliau menekankan Harimau Malaya ialah simbol kebanggaan rakyat Malaysia dan penyokong perlu bersama skuad negara dalam apa jua keadaan sama ada ketika di puncak mahupun saat diuji.

 

 

Ringkasan AI

  • SKUAD Harimau Malaya kini dianggap sebagai ancaman oleh negara-negara jiran di Asia Tenggara
  • Safee Sali menyatakan skuad kebangsaan menunjukkan perkembangan positif menjadi pasukan yang digeruni
  • Safee menggesa penyokong agar memberi sokongan padu kepada skuad negara tanpa terpengaruh emosi negatif
  • Dia juga mengingatkan pentingnya penyokong tidak menjatuhkan hukuman sebelum kes selesai diputuskan
  • Harimau Malaya dianggap sebagai simbol kebanggaan dan penyokong harus bersatu dalam suka duka



Source link

OR

Scroll to Top