Harimau Malaya mahu jaringkan banyak gol, kekalkan aksi tanpa bolos – Cklamovski

Harimau Malaya mahu jaringkan banyak gol, kekalkan aksi tanpa bolos – Cklamovski


Cklamovski. Foto Malaysia NT

PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski mahu anak buahnya mengekalkan momentum cemerlang ketika menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin minggu ini.

Menurut Cklamovski, fokus utama skuad negara adalah untuk menampilkan corak permainan terbaik selain mengekalkan disiplin bertahan dengan tidak dibolosi selain menajamkan sentuhan di depan gol.

“Mentaliti kami jelas iaitu jaringkan sebanyak mungkin gol dengan penuh rasa hormat, pada masa sama kekalkan aksi tanpa bolos. Itu asas penting yang mahu kita bina,” katanya.

Jurulatih dari Australia itu menegaskan Harimau Malaya perlu terus meningkat berbanding beberapa perlawanan terdahulu yang menjadi kayu pengukur prestasi semasa pasukan.

“Apa yang saya mahu daripada kem kali ini adalah pasukan menunjukkan identiti sebenar. Kami komited, bermotivasi dan akan memberikan segala-galanya untuk membuatkan rakyat bangga.

“Namun, kita juga perlu rendah diri kerana perjalanan masih panjang. Perlawanan menentang Singapura pastinya sukar, manakala aksi bertemu Palestin pula menuntut pendekatan berbeza,” ujarnya.

Cklamovski turut memberi bayangan bakal melakukan beberapa perubahan kombinasi pemain bagi memastikan skuad negara kekal segar tanpa menjejaskan komitmen mereka bersama kelab masing-masing.

“Keseimbangan penting. Saya mahu setiap pemain berada pada tahap terbaik, sambil memastikan mereka bersedia untuk tugasan lebih besar pada Oktober nanti.

“Yang penting, kita akan terus maju setapak demi setapak setiap hari untuk tampil lebih baik,” katanya.

Skuad negara akan menentang pasukan Singapura yang kini berada di ranking ke-159 dunia pada Khamis di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum menentang pasukan ranking ke-98 dunia, Palestin yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.



Source link

OR

Scroll to Top