Pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan di Pusat Latihan Seri Gelam, Johor Baharu, sebagai persediaan berdepan Nepal dalam aksi Kumpulan F Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027. Foto Facebook Malaysia NT
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menegaskan bahawa skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski masih berada dalam seliaan badan induk bola sepak negara, walaupun kini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Robert Friend
Mohd Joehari turut menegaskan bahawa FAM tidak pernah melepaskan tanggungjawab terhadap skuad kebangsaan, meskipun ia kini diuruskan oleh unit yang berbeza.
“Skuad Harimau Malaya masih di bawah FAM, tiada istilah bahawa Harimau Malaya, FAM berpisah atau berbeza identiti pada ketika ini.
“Malah hala tuju juga masih sama iaitu menuju ke arah pembangunan Harimau Malaya secara keseluruhannya.
“Skuad Harimau Malaya tetap berada di bawah jawatankuasa skuad kebangsaan dan masih beroperasi dalam struktur FAM,” kata Joehari menjawab persoalan terkini peranan badan induk itu selepas skuad negara diuruskan seorang CEO.
Pada Disember lalu, FAM melantik Robert Friend, atau lebih dikenali sebagai Rob Friend dari Kanada, sebagai CEO Harimau Malaya
Sementara itu, Joehari mengakui kehadiran Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertujuan membantu memastikan pengurusan Harimau Malaya berjalan lebih lancar.
“Tunku Mahkota Ismail datang untuk membantu. Jadi kita ucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Ismail kerana membantu kita merealisasikan hasrat untuk Harimau Malaya maju ke depan.
“FAM juga mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin membantu, dan secara jujurnya, Tunku Mahkota Ismail telah banyak membantu dalam persiapan skuad kebangsaan,” katanya.