Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente ketika mengendalikan sesi latihan pasukan negara bagi kempen Piala ASEAN. Foto Football Association of Malaysia
KELAB Liga Super dan skuad negara, Harimau Malaya pastinya mencapai kata sepakat serta memahami keperluan masing-masing dalam menentukan barisan pemain di pentas Piala ASEAN 2024.
Malah menurut bekas penolong pengendali Harimau Malaya, Irfan Bakti Abu Salim, situasi itu juga seharusnya tidak dilihat dari sudut negatif.
Sebaliknya menurut Irfan Bakti, ia juga perlu memahami keperluan kelab yang mahu mendapatkan kesebelasan terbaik khasnya apabila mengharungi kejuaraan berprestij seperti Piala Malaysia.
“Bagi saya, tiada masalah pun kalau kelab nak panggil balik pemain-pemain masing-masing sebab mereka ada hak dan bukannya saja-saja kelab ingin berbuat begitu.
“Dan saya percaya sebelum sesuatu keputusan itu dibuat, sudah tentu kelab dan pasukan kebangsaan sudah ada perbincangan sebelum ini berkenaan keluar masuk pemain.
“Liga di Indonesia dan Thailand juga tetap berlangsung dalam tempoh Piala ASEAN ini dan kita kena tahu, skuad Harimau Malaya masih ada pemain lain selain pemain yang telah dipanggil kelab,” katanya.
Sebagai rekod, kelab Liga Super, Sabah FC sebelum ini memanggil semula empat tonggak The Rhinos, Darren Lok, Dominic Tan, Stuart Wilkin dan Daniel Ting untuk menghadapi suku akhir Piala Malaysia menentang Kuching City.
Tidak menafikan kepentingan tugasan bersama Harimau Malaya selain mengambil kira Piala ASEAN berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Irfan Bakti juga menyifatkan temasya Mini Piala Dunia ASEAN tersebut juga ruang pemain lain membuktikan kemampuan masing-masing.
“Jadi, inilah masanya untuk mereka membuktikan kemampuan masing-masing yang sebelum ini mereka mungkin tidak berpeluang pun untuk dipanggil ke skuad negara, dan gunalah peluang yang ada ini.
“Sekiranya mereka beraksi baik, saya percaya selepas ini akan ada lagi peluang untuk mereka rebut tempat dalam pasukan negara untuk Kelayakan Piala Asia,” menurutnya.