Harimau Malaya akan bertemu Singapura dan Palestin dalam perlawanan persahabatan September ini. Foto: Malaysia NT
SKUAD Harimau Malaya bakal mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Palestin dan Singapura dalam jendela aksi antarabangsa September ini.
Perkara itu disahkan pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski yang memaklumkan kedua-dua aksi tersebut menggantikan penyertaan Malaysia dalam kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025.
“Kami sudah ada dua perlawanan yang boleh disahkan.
“Satu menentang Singapura yang pastinya aksi derbi serantau dan satu lagi menentang Palestin yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia,” katanya ketika ditemui pada sesi santai minum petang bersama media pada Rabu.
Untuk rekod, Palestin kini berada di ranking ke-98 dunia manakala Singapura di tangga ke-159 mengikut kemas kini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Skuad negara akan menentang Singapura pada 4 September dan menentang Palestin empat hari kemudian.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Harimau Malaya tidak akan beraksi pada saingan CAFA susulan perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran yang jatuh di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut FAM, ia telah menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.
Mengulas pemilihan dua pasukan berkenaan, Cklamovski menjelaskan kedua-dua lawan itu mampu memberikan cabaran serta pengalaman berguna kepada skuad negara.
“Perlawanan menentang Singapura sentiasa penuh emosi dan ia satu ujian bermakna buat kami.
“Palestin pula sebuah pasukan yang bermain dengan penuh semangat patriotik dan kami mahu mencabar diri dengan menentang mereka,” ujarnya.