Harimau Malaya bakal berdepan tugas getir menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto Malaysia NT
PEMAIN naturalisasi negara, Endrick dos Santos menyifatkan skuad Harimau Malaya kini berada pada tahap berbeza berbanding sebelum ini menjelang aksi penting menentang Vietnam dalam saingan Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Menurut pemain tengah kelahiran Brazil itu, pelbagai peningkatan telah dipamerkan Harimau Malaya sejak kebelakangan ini sekali gus menambah kualiti keseluruhan pasukan kebangsaan.
Malah, beliau berkata, kehadiran ramai pemain warisan berkualiti turut menjadi faktor penting yang memperkuatkan barisan skuad kendalian Peter Cklamovski itu.
“Ya, bagi saya ini sesuatu yang sangat baik kerana kami telah meningkatkan tahap permainan kami. Kami telah melangkah ke hadapan.
“Saya rasa ia bukan sesuatu yang mudah untuk jurulatih kerana mereka perlu berfikir banyak kali untuk memilih pemain terbaik.
“Tetapi bagi pasukan kebangsaan, ini satu perkembangan positif. Kami memiliki ramai pemain yang bagus dan sekarang tumpuan kami adalah untuk saling mengenali antara satu sama lain secepat mungkin kerana perlawanan ini sangat penting buat kami,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Vietnam, Endrick percaya kemampuan Harimau Malaya untuk membenam cabaran pasukan di kedudukan ranking ke-109 dunia itu.
“Kami ada berbincang dan juga ada penganalisis kami sendiri, jadi kami semak dan kaji Vietnam.
“Mereka pantas, mereka kuat tetapi mereka juga ada kelemahan. Jadi kami cuba berlatih, lakukan segala-galanya, ikut perancangan jurulatih dan saya rasa kami sepatutnya boleh tampil cemerlang,” katanya.
Perlawanan di laman sendiri ini cukup penting buat Harimau Malaya menewaskan Vietnam sekali gus mendahului Kumpulan F dan mencerahkan peluang layak ke Piala Asia.
Bagaimanapun, rekod skuad negara dilihat kurang baik berdepan skuad Golden Star Warriors itu apabila mencatatkan tujuh kekalahan dan satu keputusan seri dalam lapan perlawanan terakhir.