Harimau Malaya tak boleh rasa puas

Harimau Malaya tak boleh rasa puas


Cklamovski – Foto: MALAYSIA NT

RENTAK kemenangan yang berjaya dilakar Harimau Malaya ketika ini bukan tiket untuk mereka berasa puas hati, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin bagi menghadapi cabaran lebih getir dalam perlawanan akan datang.

Di bawah kendalian jurulatih, Peter Cklamovski, skuad negara tampil meyakinkan dengan deretan keputusan positif sejak beberapa bulan lalu.

Segalanya bermula dengan kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam Kelayakan Piala Asia sebelum mengikat pasukan ranking lebih tinggi, Cape Verde, 1-1 dalam aksi persahabatan.

Momentum itu terus memuncak apabila Harimau Malaya membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun yang menjadi satu kemenangan yang dianggap antara persembahan terbaik pasukan kebangsaan selain menamatkan badi 11 tahun tidak pernah menang ke atas pasukan itu.

Keyakinan pemain semakin terserlah apabila mereka berjaya menumpaskan Singapura 2-1 dalam aksi persahabatan bulan ini dan seterusnya mencipta kejutan menundukkan pasukan di ranking ke-98 dunia, Palestin 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Menurut Cklamovski, kemenangan demi kemenangan yang telah diraih itu membuktikan Harimau Malaya berada di landasan yang tepat, namun beliau menegaskan perlu bersedia dengan cabaran lebih besar.

“Kami perlu kekalkan momentum ini. Pemain telah menunjukkan mentaliti yang kuat serta kesungguhan tinggi di atas padang. Inilah kunci untuk kami berdepan aksi kelayakan yang jauh lebih mencabar.

“Kami mahu kekal agresif, yakin dengan corak permainan sendiri dan percaya kepada kemampuan pasukan. Kami ada kepercayaan bahawa kami mampu menewaskan mana-mana pasukan.

“Pemain sudah mula memahami falsafah permainan dan menunjukkan perkembangan dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Apa yang penting sekarang ialah jangan berhenti dan terus tingkatkan prestasi,” katanya.

Harimau Malaya akan menyambung tugasan antarabangsa menentang Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia pada 9 Oktober di laman lawan sebelum sekali lagi bertemu pasukan sama lima hari kemudian di Stadium Nasional Bukit Jalil.

 

Ringkasan AI

  • RENTAK kemenangan Harimau Malaya adalah pemangkin untuk menghadapi cabaran lebih getir
  • Di bawah kendalian Peter Cklamovski, skuad negara menunjukkan prestasi meyakinkan
  • Kemenangan penting termasuk 4-0 ke atas Vietnam dan 1-0 ke atas Palestin
  • Jurulatih menekankan kepentingan kekalan momentum dan mentaliti pemain
  • Harimau Malaya akan berhadapan dengan Laos dalam Kelayakan Piala Asia



Source link

OR

Scroll to Top