Skuad negara akan berdepan Laos di Bukit Jalil, Selasa ini. FOTO: MALAYSIA NT
PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski yakin skuad kendaliannya berada pada tahap terbaik menjelang pertembungan menentang Laos dalam aksi keempat Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Selasa ini.
Cklamovski meluahkan rasa puas hati terhadap prestasi anak buahnya ketika menewaskan Laos 3-0 di Vientiane, Khamis lalu terutama dari segi cara mereka mengawal tempo dan taktikal permainan sepanjang 90 minit.
Menurutnya, banyak perkara positif yang dipamerkan para pemainnya dan yakin momentum itu dapat diteruskan sekali gus mencipta satu lagi kemenangan.
“Mereka menunjukkan disiplin dan penguasaan bola yang baik. Kami berjaya mencipta banyak peluang dan sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol. Itu satu petanda positif,” jelas jurulatih kelahiran Australia itu.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih ada ruang yang perlu diperbaiki bagi memastikan Harimau Malaya tampil lebih tajam dan konsisten di hadapan penyokong sendiri nanti.
“Kami akan meneliti semula aksi terdahulu untuk mengenal pasti aspek yang boleh dipertingkatkan. Fokus kami kini adalah untuk memastikan pasukan lebih efisien, terutama di bahagian penyudah,” katanya.
Malaysia kini memburu tiga mata penuh di laman sendiri bagi mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan dan terus mengukir laluan selesa ke pusingan seterusnya.
Ketika ini, skuad negara mengumpul sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan, manakala Vietnam kekal mengekori rapat di tangga kedua dengan enam mata.
Ringkasan AI
- Peter Cklamovski yakin skuadnya berada pada tahap terbaik menjelang pertembungan menentang Laos
- Cklamovski puas hati dengan prestasi ketika menewaskan Laos 3-0, terutama dalam mengawal tempo dan taktikal permainan
- Banyak perkara positif dipamerkan pemain, Cklamovski yakin momentum kemenangan dapat diteruskan
- Beliau mengakui ada ruang perlu diperbaiki untuk tampil lebih tajam dan konsisten di hadapan penyokong
- Malaysia kini memburu tiga mata penuh di laman sendiri untuk mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan