Pemain Malaysia meraikan jaringan yang dilakukan Jaoa Vitor Brandao Figueiredo pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di antara Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Foto Bernama
SKUAD Harimau Malaya meraih kemenangan 2-1 berdepan musuh tradisi Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
Pasukan kebangsaan menampilkan dominasi pada separuh masa pertama membuatkan pasukan lawan yang berada di ranking ke-159 dunia itu terpaksa lebih banyak bertahan dan hanya mampu beberapa kali sahaja masuk ke kawasan Malaysia.
Namun, pada separuh masa kedua, Singapura tampak lebih berani dan mampu menghadirkan ancaman buat Harimau Malaya.
Dalam perlawanan itu, percubaan pertama negara hadir melalui bintang sensasi Harimau Malaya, Arif Aiman yang diselamatkan penjaga gol Singapura Izwan Mahbud pada minit kelima sebelum percubaan Nazmi Faiz Mansor melewati gawang gol.
Gol Harimau Malaya tercipta pada minit ke-25 hasil hantaran Endrick yang berjaya mendapat Stuart Wilkin sebelum dia yang diberikan peranan sebagai pemain pertahanan kanan meledak kencang menewaskan Izwan.
Dua minit selepas bersambung separuh masa kedua, skuad negara terus mengasak kubu Singapura dan hampir menambah gol menerusi Endrick namun percubaannya dihalang pertahanan lawan.
Dua minit selepas bersambung separuh masa kedua, skuad negara terus mengasak kubu Singapura dan hampir menambah jaringan menerusi Endrick, namun percubaannya sempat dihalang pertahanan lawan.
Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila Figueiredo berjaya meletakkan Harimau Malaya selesa di hadapan pada minit ke-54.
Berpunca daripada hantaran cantik Stuart Wilkin, penyerang warisan itu mudah menolak masuk bola untuk menewaskan Izwan Mahbud buat kali kedua.
Singapura berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-72 menerusi jaringan pemain gantian, Ilhan Fandi Ahmad menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti untuk menewaskan Haziq Nadzli.
Beberapa peluang berjaya dicipta pasukan negara selepas gol tersebut, namun kegagalan menterjemahkan kepada jaringan menyaksikan kedudukan itu kekal sehingga penghujung perlawanan.
Selepas ini, skuad negara akan bertemu pasukan di ranking ke-98 dunia, Palestin yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin ini.