Hannah mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang berjaya menundukkan Vietnam. – Foto: FB Hannah Yeoh
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada pasukan kebangsaan yang berjaya membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Menurut Hannah, kejayaan tersebut merupakan satu memori manis kepada rakyat Malaysia apatah lagi ia menamatkan penantian 11 tahun tanpa kemenangan ke atas pasukan Vietnam.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi tulang belakang dan pencetus kepada kebangkitan Harimau Malaya.
“Tahniah diucapkan kepada jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski di atas kejayaan menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sekali gus menamatkan penantian 11 tahun menang terhadap skuad Naga Emas.
“Gegak gempita Ultras Malaya ditambah lagi sorakan padu 61,512 penyokong menjadi satu memori manis kepada rakyat Malaysia yang meraikan kejayaan ini.
“Terima kasih TMJ, Terima kasih PMX. Selamanya Harimau Malaya,” katanya di laman Facebook miliknya.
Dalam perlawanan tersebut, Harimau Malaya tampil dengan persembahan bertenaga menerusi gol Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, La’Vere Corbin Ong dan Dion Cools untuk memastikan skuad negara berada di kedudukan teratas Kumpulan F dengan enam mata.