Harimau melintas!

Harimau melintas!


mohamadridzuan@hmetro.com.my

TIADA perkataan lain keluar daripada mulut Farid Kamil kecuali teruja dan gembira apabila filem lakonannya, Telaga Suriram akan ditayangkan mulai 1 Mei ini.

Semua pengikut industri hiburan sedia maklum penggambaran filem arahan Osman Ali ini dibuat pada 2022 dan melalui pelbagai cabaran sebelum dapat ditayangkan.

“Secara peribadi saya rasa penantian selama bertahun-tahun akhirnya terlerai. Kita dapat lihat sendiri hasilnya yang menarik perhatian untuk ditonton.

“Sejujurnya saya hampir lupa beberapa babak dalam itu kerana dah agak lama, tetapi bila siap dapatlah ditonton dan saya amat puas hati.

“Telaga Suriram tampil dengan kelainan tersendiri. Saya lihat ia sebagai sebuah filem Melayu yang mana mengangkat satu cerita menarik berlatar belakangkan tahun 80-an,” katanya.

Farid yang melakonkan watak Zakir berkata, mungkin ada sedikit kekurangan terutama ketelitian untuk merealitikan era itu, tapi filem ini wajar dipuji penonton.

“Itulah sedaya mampu yang kita buat. Ia ada banyak kelebihan cuma ada sedikit kelemahan. Namun isi cerita itu yang perlu dilihat penonton.

“Sebenarnya agak mencabar saya buat watak begini kerana di dalam filem Osman Ali hanya menulis bayangan karakter yang perlu saya buat.

“Jadi, menjadi tanggungjawab saya untuk mencari gali semula apa yang dia inginkan. Alhamdulillah kami semua diberi tenaga pengajar dan masa supaya boleh buat persediaan lebih lama sebelum masuk ke lokasi penggambaran,” katanya.

Farid yang pernah membintangi filem pecah panggung seperti Lagenda Budak Setan, Rempit dan Tombiruo Penunggu Rimba mengakui, keserasiannya bersama pelakon Telaga Suriram amat bagus.

“Ia sangat okey. Saya bersyukur digandingkan dengan Maya Karin, Scha Al-Yahya, Nabila Huda dan Ellie Suriaty yang mana kredibiliti mereka sebagai pelakon sudah terbukti.

“Saya seronok berada di dalam lingkungan mereka. Untuk kata filem ini akan mengembalikan populariti saya di mata peminat, ia perlu dilihat dalam perspektif berbeza.

“Saya rasa watak ini berlainan daripada watak saya dalam filem sebelum ini. Mungkin persepsi peminat berubah selepas menonton filem ini,” katanya.

Banyak pengalaman menarik dilalui Farid apabila membintangi filem ini antaranya kejutan untuk karakter yang dilakonnya.

“Yang susah untuk filem ini ialah mengawal transisi dari pembangunan karakter yang tidak disangka-sangka oleh penonton.

“Mereka hanya akan tahu perkara sebenar apabila menonton sehingga akhir filem ini dan akan rasa terhibur.”Semasa penggambaran, saya tak berdepan pengalaman seram. Namun cuma berdepan dengan lintasan harimau di lokasi dalam hutan. Itu yang menyeramkan saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top