Harimau Muda B-19 waspada muslihat Singapura

Harimau Muda B-19 waspada muslihat Singapura


GAYA permainan agresif Singapura dijangka menjadi ujian karakter buat skuad bola sepak negara apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Kumpulan C Piala ASEAN Bawah 19 (B-19) tahun di Stadium Gelora 10 November, Surabaya pada Isnin.

Biarpun begitu pengendali Harimau Muda B-19, Juan Torres Garrido mengakui kemenangan bergaya ke atas Brunei pada Jumaat penting secara tidak langsung meningkatkan keyakinan anak buahnya.

Namun begitu pengendali kelahiran Sepanyol tersebut mengingatkan skuad muda negara untuk tidak terlalu selesa kemenangan atas pasukan kendalian Aminuddin Jumat itu apabila menjangkakan saingan lebih sengit anak buah Fadzuhasny Juraimi.

“Singapura berjaya mempamerkan permainan agresif yang memberikan kesukaran kepada Thailand sebelum lawan bangkit memanfaatkan keletihan pemain pesaing.

“Kami menjangkakan situasi sama apabila berdepan Singapura, namun kami akan menyediakan pasukan yang jauh lebih baik dengan senario berbeza berbanding ketika menang ke atas Brunei.

“Perlawanan ini juga penting buat kedua-dua pasukan, namun untuk kami apa yang lebih penting meningkatkan momentum seterusnya meraih tiga mata,” katanya.

Harimau Muda B-19 yang tampil dengan status juara bertahan membuka gelanggang Piala ASEAN dengan membelasah Brunei, 11-0 dalam aksi di Stadium Gelora 10 November, Surabaya, Jumaat lalu.

Singapura pula gagal mengekalkan momentum gol awal sentuhan Sahoo Garv minit ke-25 apabila tewas 1-2 kepada Thailand yang bangkit hasil jaringan Phongsakon Sangkasopha (m-79) dan Pikanet Laohawiwat (m-85).

Pada masa sama Garrido berkata, motivasi dalam kalangan pemain Harimau Muda B-19 berada pada tahap terbaik untuk berdepan The Lions tersebut.

Malah jelasnya, pemain-pemain pula bebas kecederaaan sekaligus memudahkan barisan kejurulatihan merencanakan percaturan taktikal pasukan.

Ditanya sama ada kelibat Abid Safaraz yang meledak hatrik ketika berdepan Brunei sekali dipertaruhkan berdepan Singapura Garrido berkata: “Ya, Abid mempamerkan prestasi membanggakan begitu juga pemain lain semasa latihan.

“Dan kami juga perlu melihat kepada jadual perlawanan yang begitu rapat sebelum memutuskan kesebelasan utama pasukan.”

Harimau Muda B-19 memimpin kumpulan dengan tiga mata diekori rapat Thailand (tiga mata), Singapura dan Brunei masing-masing tanpa sebarang mata.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top