Harimau Muda B-23 berdepan krisis pemain hadapi Laos

Harimau Muda B-23 berdepan krisis pemain hadapi Laos


SKUAD bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara berkemungkinan tidak dapat menurunkan tujuh pemain bagi menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand berikutan komitmen bersama pasukan Liga Super.

Pengendali Harimau Muda, Nafuzi Zain mengakui situasi itu meresahkannya menjelang aksi pembukaan menentang Laos pada Sabtu ini, yang dianggap satu perlawanan wajib menang berdasarkan kegagalan pada Piala ASEAN dan kelayakan Piala Asia pada Julai serta September lalu.

“Setakat ini tujuh (pemain) yang pasti (tidak berada dalam pasukan) tetapi pemain Selangor mungkin (dapat beraksi bersama berdasarkan) perbincangan tetapi pemain (lain) kami belum pasti lagi.

“ Dua kejohanan sebelum ini menyebabkan kegagalan mara ke pusingan seterusnya adalah berpunca daripada kekalahan pada perlawanan pertama dan semestinya kami memerlukan pemain terbaik.

“Kami tahu ini bukan dalam kalendar FIFA dan kelab mempunyai hak tidak melepaskan pemain namun harap pertimbangan dilepaskan pada perlawanan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi latihan skuad B-23 menjelang Sukan SEA 2025 di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, Shah Alam pada Isnin.

Nafuzi berkata, biarpun terdapat pilihan pemain lain, mereka yang beraksi dalam kancah Liga Super memiliki tahap kematangan serta pengalaman lebih tinggi untuk membantu pasukan pada saat genting.

Beliau memaklumkan skuad negara yang memulakan kem latihan pusat sejak 25 November kini berlatih dalam keadaan serba kekurangan namun tetap komited meneruskan perjuangan dan menghadapi apa jua cabaran menjelang aksi seterusnya.

“Dari segi persiapan, kami berlatih pun dalam situasi kekurangan pemain.

“Tak cukup pemain yang betul-betul dan mungkin ada yang sertai latihan lepas itu balik untuk perlawanan dengan negeri, dengan kelab, lepas tu akan sertai kami semula,” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri berharap akan ada ‘keajaiban’ yang mampu menjadi titik perubahan serta menyuntik magis buat skuad negara pada temasya dwitahunan itu.

“Kami tidak boleh ambil mudah dan banyak benda yang kami pelajari khususnya dari segi bermain satu pasukan.

“Kami ambil maklum ada perkara kecil yang kadangkala memberi impak yang lebih besar untuk kami sebagai pasukan.

“Jadi untuk Sukan SEA kali ini, kami telah ambil maklum atas semua dengan kejohanan-kejohanan lepas dan kami akan buat sehabis baik pada edisi Sukan SEA kali ini,” katanya. – Bernama

INFO

Skuad B-23 yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan saingan pada 6 Disember menentang Laos sebelum berdepan Vietnam pada 11 Disember di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Sebagai rekod, hanya juara kumpulan dan satu pasukan kedua terbaik layak ke separuh akhir temasya Thailand 2025.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA ialah pada 2011 di Jakarta, Indonesia.

Ringkasan AI

  • SKUAD B-23 negara mungkin tidak dapat menurunkan tujuh pemain kerana komitmen bersama Liga Super
  • Pengendali Harimau Muda, Nafuzi Zain, resah menjelang perlawanan wajib menang menentang Laos
  • Kegagalan mara ke pusingan seterusnya dalam dua kejohanan sebelum disebabkan kekalahan pada perlawanan pertama
  • Nafuzi berharap kelab-kelab melepaskan pemain walaupun bukan dalam kalendar FIFA
  • Skuad negara berlatih dalam kekurangan tetapi tetap komited menghadapi cabaran Sukan SEA 2025



Source link

OR

Scroll to Top